Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Mei - Pasaran ekuiti Malaysia menyaksikan hanya pelabur runcit yang membeli bersih saham tempatan sejak tahun 2021 hingga setakat minggu lalu.
Golongan itu telah ‘mengumpulkan’ sebanyak RM6.01 bilion aliran masuk bersih, sementara kedua-dua pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing menjual bersih -RM3.14 bilion dan -RM2.87 bilion bagi tempoh sama.
Bagi sepanjang minggu lalu yang berakhir 30 April, pelabur asing meneruskan prestasi sama dengan aliran keluar bersih sebanyak -RM376.46 juta, menurut MIDF Research.
Namun, angka itu lebih rendah berbanding minggu sebelumnya, ujar MIDF lanjut.
“Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin, pelabur asing membeli bersih RM150.03 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merupakan pembeli bersih dan penjual bersih, dengan nilai terkumpul RM14.65 juta dan -RM164.69 juta.
“Pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari kecuali pada Isnin. Aliran keluar asing tertinggi dicatatkan pada Selasa, -RM229.60 juta dengan terendah pada Rabu, -RM80.01 juta.
“Satu-satunya aliran masuk yang dicatatkan bernilai RM150.03 juta,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini.
Berbalik kepada pelabur runcit, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari bagi tempoh sama.
Aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Selasa, RM137.78 juta dan terendah pada Isnin, RM14.65 juta, tambah MIDF lagi.
Secara terkumpul, pelabur runcit telah membeli bersih ekuiti di Bursa Malaysia sebanyak RM329.34 juta bagi minggu lalu.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula mencatatkan aliran masuk terkumpul mingguan sebanyak RM47.11 juta.
“Pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Jumaat, RM134.07 juta, sementara nilai terendah pada Selasa iaitu RM91.82 juta.
“Satu-satunya penjualan bersih berlaku pada Isnin dan Rabu, masing-masing bernilai -RM164.69 juta dan -RM14.09 juta,” ujar MIDF.
Bagi tempoh sama, Kossan Rubber Industries Berhad, Inari Amertron Berhad dan AMMB Holdings Berhad berjaya menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing bernilai RM2.80 juta, RM2.75 juta dan RM0.87 juta.
Namun, carta aliran keluar tertinggi pula didahului oleh Top Glove Corporation Berhad iaitu -RM19.91 juta, seterusnya diikuti oleh Hartalega Holdings Berhad (-RM18.40 juta) dan Lotte Chemical Titan Holding Berhad (RM5.83 juta), pada minggu lalu. - DagangNews.com