Hard Rock Cafe akan dibuka di Ipoh, yang kelima di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hard Rock Cafe akan dibuka di Ipoh, yang kelima di Malaysia

Rumaizi (tengah) menandatangani gitar sambil disaksikan Chao (kiri) dan Lau (dua dari kanan) pada majlis prapelancaran Hard Rock Cafe Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 10 Jun - Bandar hipster Ipoh bakal menerima lebih ramai pengunjung dari luar apabila kafe hiburan antarabangsa terkenal, Hard Rock Cafe membuka premisnya di sini.

 

Kafe kelima dalam rangkaian Hard Rock di Malaysia ini akan dibuka pada Disember nanti di kawasan komersial Palo 101, Jalan Sultan Iskandar.

 

Bagaimana pun, buat permulaan The Rock Shop iaitu kedai menjual barangan Hard Rock akan dibuka pada 16 Jun ini.

 

Naib Presiden Kawasan Asia Pasifik Hard Rock Cafe Antarabangsa, Malcolm Chao berkata, pembukaan Hard Rock Cafe di Ipoh bersesuaian dengan lokasi bandar raya tersebut.

 

Kafe kelima Hard Rock di Malaysia ini akan dibuka pada Disember.
Kafe kelima Hard Rock di Malaysia ini akan dibuka pada Disember.

 

Katanya, Ipoh menyertai bandar-bandar besar lain dalam rangkaian tersebut iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru.

 

"Bagi saya peningkatan kadar pengunjung ke sini menjadi sebab mengapa ia sesuai untuk dibuka termasuk kedudukan Ipoh di tengah-tengah laluan utara selatan.

 

"Sudah tiba masanya kita menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk melawat Ipoh.

 

"Banyak perkara boleh diteroka di sini dengan kawasan pelancongan yang menarik," katanya.

 

Pembukaan Hard Rock Cafe Ipoh juga diyakini membantu meningkatkan ekonomi bandar raya Ipoh dan negeri Perak dalam sektor pelancongan.

 

Hard Rock Cafe Ipoh berpotensi untuk menarik pengunjung antarabangsa terutamanya bikers.
Hard Rock Cafe Ipoh berpotensi untuk menarik 
pengunjung antarabangsa terutamanya bikers.

 

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembukaan Hard Rock Cafe sesuatu yang dialu-alukan khususnya pada Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024.

 

"Rancangan kita adalah untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar pelancongan utama negara pada tahun 2025.

 

"Antara strategi kita ialah dengan menarik jenama-jenama antarabangsa untuk beroperasi di sini yang mana Hard Rock adalah satu daripadanya.

 

"Ipoh ini bukan hanya sebagai ibu negeri semata-mata, tetapi bandar wilayah. Kita mahu gerakkan kawasan ini sebagai lokasi pelancongan berasaskan ekopelancongan dan seni," ujarnya.

 

Hard Rock Cafe Ipoh akan dibuka di Palo 101, Jalan Sultan Iskandar.
Hard Rock Cafe Ipoh akan dibuka di Palo 101, Jalan Sultan Iskandar.

 

Kata Rumaizi, kewujudan Hard Rock Cafe Ipoh nanti mempunyai potensi untuk menarik pengunjung antarabangsa terutamanya kumpulan bermotosikal atau bikers, misalnya dari Thailand dan Singapura.

 

Terdahulu, majlis ramah mesra media dan prapelancaran Hard Rock Cafe Ipoh telah diadakan di Tasik Cermin di sini yang disempurnakan oleh Rumaizi.

 

Hadir sama ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hotel Tiong Nam, Johnny Lau. - DagangNews.com