Harga bata di Johor meningkat 25%, bantu industri meredakan kenaikan kos elektrik, buruh | DagangNews Skip to main content

Harga bata di Johor meningkat 25%, bantu industri meredakan kenaikan kos elektrik, buruh

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Feb - Harga bata di wilayah selatan Semenanjung Malaysia mencecah rekod tertinggi baru-baru ini setelah berlaku kenaikan mendadak sekitar 25% bagi perbandingan tahun ke tahun (YoY).

 

Menurut RHB Investment, lonjakan harga ini bagaimanapun membantu meredakan kenaikan kos yang dihadapi industri membabitkan peningkatan harga bekalan elektrik, bahan mentah dan tenaga buruh.

 

Katanya, industri pembuatan bata juga berhadapan kos permulaan yang mahal untuk barangan penting seperti relau. 

 

Peningkatan harga bata baru-baru ini kata RHB Investment didorong susulan permintaan tinggi daripada syarikat pemaju hartanah di Johor.

 

"Kia Lim Berhad dilihat terkehadapan dalam mengaut peluang dalam permintaan pasaran hartanah yang berkembang pesat di Johor, dipacu oleh projek-projek kemudahan utama seperti Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura dan beberapa penubuhan zon ekonomi penting. 

 

"Selain meraih manfaat daripada permintaan tinggi batu bata di Johor, ia juga beralih menjalankan operasi bermargin lebih tinggi sewaktu industri mengalami penyatuan pasaran, harga jualan mencecah rekod tertinggi dan nilai mata wang dolar Singapura (SGD) yang kukuh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

 

lim

 

Menurut firma penyelidikan itu, sektor pembuatan batu bata sebelum ini menyaksikan penyatuan berlaku, diburukkan lagi oleh kemerosotan yang menimpa pasaran hartanah dan pelaksanaan sekatan pergerakan yang berkait dengan pandemik COVID-19. 

 

"Bilangan syarikat yang beroperasi di Johor semakin berkurangan dan menyebabkan keluaran kapasiti batu bata berdepan penyusutan yang mendadak." jelasnya.

 

Namun, Kia Lim muncul sebagai pengeluar batu bata cekap tenaga yang menjunjung tinggi prinsip kelestarian sehingga menjadi suatu pelaburan menarik.

 

Katanya, syarikat ini mempelopori penyelesaian pembinaan lestari di Singapura dan meraih kelebihan daripada kadar pertukaran lebih kukuh antara SGD dengan ringgit Malaysia (RM). 

 

"Kejayaan ini disumbang oleh permintaan menggalakkan produk Clay EconBlock keluarannya yang dilihat lebih berkualiti tinggi berbanding bata tradisional disebabkan oleh beratnya yang ringan, kecekapan terma dan penyebatan bunyi yang lebih baik. 

 

"Kelebihan-kelebihan ini menjadikan bata EconBlock sebagai pilihan produk yang lebih menarik di Singapura yang pasaran industri pembinaannya menitikberatkan bahan yang lestari dan cekap tenaga. 

 

"Oleh itu, ciri-ciri ini dilihat mempunyai kaitan yang langsung dengan permintaan yang semakin meningkat untuk bahan binaan yang berinovasi dan lestari dalam industri pembinaan SingapurA dan membantu mengukuhkan lagi kedudukan Kia Lim dalam pasaran," jelasnya.

 

Kata RHB Investment, Kia Lim mempunyai keupayaan pengeluaran tertinggi di wilayah ini dengan menghasilkan 180 juta batu bata setiap tahun, iaitu 400,000 tan tanah liat.

 

"Berdasarkan keupayaan pengeluaran besar ini, Kia Lim dilihat menerajui sektor bahan binaan, dan mampu memenuhi permintaan semakin meningkat (khusus di Johor) sambil mengekalkan produk pada kualiti yang terbaik," jelasnya.

 

Berdasarkan P/E 10x pada perolehan FY24F, RHB Investment meraih nilai berpatutan Kia Lim RM1.05. 

"Risiko utama ialah kemerosotan pasaran hartanah, khusus di wilayah selatan negara dan di Singapura, risiko operasi dan kehilangan pelangganpenting," ujarnya.- DagangNews.com