Harga hartanah dijangka terus naik akibat peningkatan kos bahan binaan - Rehda | DagangNews Skip to main content

Harga hartanah dijangka terus naik akibat peningkatan kos bahan binaan - Rehda

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 14 Mac - Harga hartanah Malaysia dijangka terus meningkat dengan ketara bagi separuh pertama 2024 (1H 2024) berikutan cabaran kenaikan kos bahan binaan, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

 

Bercakap mengenai Tinjauan Industri Hartanah Rehda untuk 2H 2023 dan Tinjauan Pasaran untuk laporan 2024, presidennya, Datuk NK Tong, berkata harga bahan binaan terus meningkat apabila pemaju melaporkan lebih 10 peratus kenaikan tahunan dalam harga purata bagi pasir dan konkrit pada akhir Disember 2023.

 

"Ini bermakna kos pembinaan dijangka meningkat secara purata 15 peratus pada 1H 2024," katanya dalam taklimat media hari ini.

 

 

Datuk NK Tong
                           Datuk NK Tong

 

 

Tong menambah, 91 peratus daripada responden kajian mendapati kenaikan harga bahan binaan yang lebih tinggi pada 2023 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

“Akhirnya, peningkatan bahan binaan bermakna kos pembinaan lebih tinggi.

 

"Kami berharap isu ini dapat ditangani dengan berkesan dan semua pemain industri akan memainkan peranan mereka untuk memastikan rakyat Malaysia tidak terus terjejas dengan kenaikan itu," katanya.

 

Sementara itu, Tong berkata peserta pasaran hartanah kekal neutral terhadap prospek perniagaan dan industri hartanah untuk 1H 2024 tetapi lebih optimistik mengenai pasaran untuk 2H 2024.

 

"Ini boleh difahami dengan mengambil kira cabaran industri, tetapi keyakinan yang lebih tinggi untuk separuh kedua tahun menunjukkan bahawa responden dan pemaju secara amnya masih yakin bahawa pasaran akan bertambah baik," katanya.

 

Mengulas mengenai cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar, Tong menekankan bahawa kononnya ia adalah untuk membolehkan pemaju merampas tanah untuk mendapatkan keuntungan adalah meleset sama sekali.

 

Beliau berkata sebagai pemaju yang bertanggungjawab, ahli Rehda mempunyai banyak pilihan lain untuk memperoleh tanah pembangunan di tempat lain, yang boleh dibangunkan dengan mudah berbanding dengan membangunkan semula bangunan sedia ada.- DagangNews.com