Harga jualan sarung tangan Supermax terus menurun, EPS dikurangkan hingga 12.1% | DagangNews Skip to main content

Harga jualan sarung tangan Supermax terus menurun, EPS dikurangkan hingga 12.1%

 Supermax Corporation Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Harga purata jualan (ASP) sarung tangan getah syarikat Supermax Corporation Berhad (Supermax) dilihat akan terus menurun bagi tempoh akan datang.

 

CGS-CIMB Research berkata, penurunan itu akan terus berlaku kerana kemasukan kapasiti bekalan sarung tangan getah di seluruh dunia serta tren pembelian pelanggan semakin perlahan.

 

"Walaupun Supermax memberitahu pihaknya telah menerima tempahan besar daripada pelanggan pada ASP yang lebih tinggi daripada pasaran semasa, pesanan berkenaan berkemungkinan akan berjalan hanya dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

 

"Pada masa itu, anggaran ASP bagi tahun kewangan 2022, 2023 dan 2024 adalah pada harga AS$47, AS$30 dan AS$26 setiap seribu keping," jelas CGS-CIMB Research.

 

Susulan itu juga, CGS-CIMB Research membuat keputusan untuk mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (ESP) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 4.3% hingga 12.1%.

 

Pengurangan itu dibuat dengan mengambil kira impak 'lockdown' yang dilaksanakan baru-baru ini sekali gus menyebabkan tiga perkara negatif kepada syarikat berkenaan.

 

Pelaksanaan 'lockdown' menjejaskan jumlah pengeluaran sarung tangan getah syarikat berkenaan, kelewatan rancangan pengembangan kapasiti dan kos terbiar.

 

"Oleh itu, kami turunkan harga sasaran sesaham (TP) kepada RM3.20 dengan saranan 'pegang' saham  Supermax," ujar CGS-CIMB Research lagi.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, syarikat berkenaan juga membuat perancangan mengembangkan perniagaan dengan membina lima kilang baharu.

 

Kilang-kilang tersebut akan menambah pengeluaran 22.3 bilion keping sarung tangan, yang akan menjumlahkan kapasiti keseluruhan sebanyak 48.4 bilion keping setelah selesai nanti.

 

Syarikat berkenaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi tujuan berkenaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' kerana kami menjangkakan ASP akan terus pada tahap sederhana pada suku akan datang," tambah MIDF Research. - DagangNews.com