Harga mampu milik, frekuensi penerbangan jadi fokus AirAsia X untuk kembali untung akhir tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Harga mampu milik, frekuensi penerbangan jadi fokus AirAsia X untuk kembali untung akhir tahun hadapan

Daripada ZUNAIDAH ZAINON di Melbourne

MELBOURNE 3 Nov - AirAsia X Bhd. menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan selewat-lewatnya menjelang akhir tahun hadapan setelah berdepan dengan kerugian akibat impak pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun.

 



Pengerusinya, Tunku Datuk Mahmood Fawzy menyifatkan Benyamin Ismail memikul tugas berat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk mengemudi AirAsia X dalam mencapai sasaran tersebut.  

 



"Lembaga pengarah sebenarnya memantau perkara ini dengan teliti dan Ben (merujuk kepada Benyamin) akan memikul tanggungjawab ini untuk memastikan AirAsia X kembali mencatat keuntungan pada tahun hadapan. Prestasi kumpulan kini ditangannya," katanya.

 



Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas acara menyambut ketibaan penerbangan semula AirAsia X ke Melbourne, Australia bermula Selasa lalu.

 


 

Tunku Datuk Mahmood Fawzy
                  Tunku Datuk Mahmood Fawzy

 


 

Penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Melbourne mendarat pada jam 6.17 pagi, dan berlepas dari Melbourne pada 7.40 pagi.


 
Melbourne merupakan salah satu destinasi utama AirAsia X selepas pandemik dan penyambungan semula laluan itu menandakan pemulihan permintaan untuk perjalanan udara jarak sederhana tambang rendah, seterusnya merangsang sektor pelancongan di kedua-dua negara.

 



Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22), AirAsia X merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM32.8 bilion apabila sekatan perjalanan dilonggarkan secara beransur-ansur.

 



Bagaimanapun, ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM652.52 juta pada suku kempat FY22 manakala pendapatan berjumlah RM107.18 juta, menjadikan hasil setahun penuh kepada RM438.77 juta.

 



Seperti yang diumumkan pada 2 Disember 2020, tahun kewangan berakhir syarikat telah ditukar daripada 31 Disember 2020 kepada 30 Jun 2021.

 



Mahmood Fawzy berkata, AirAsia X akan terus menumpukan kepada pasaran yang kurang diberi perhatian dalam usaha menawarkan harga yang berpatutan.

 



Jelasnya, kumpulan telah mendapat manfaat daripada penstrukturan semula dan menyaksikan struktur kos juga menurun, sekali gus membolehkan harga tambang semakin rendah.

 



"Sebagai contoh, dengan penyambungan semula laluan Melbourne ini membolehkan pelajar di Australia pulang ke Malaysia, yang mana sebelum ini mereka tidak mampu kerana harga tambang yang tinggi.

 



"Ini adalah antara pasaran yang kurang diberi tumpuan, yang seharusnya memberi kami kelebihan dan nilai tambah," katanya.

 


 

aax
Tunku Datuk Mahmood Fawzy (dua dari kanan) dan CEO AirAsia X, Benyamin Ismail (dua dari kiri) di Lapangan Terbang Melbourne sempena penyambungan semula operasi Kuala Lumpur-Melbourne pada Selasa lalu.


 

Dalam pada itu, Benyamin ketika ditanya mengenai harapan yang tergalas di bahunya, berkata, sejak tujuh tahun lalu beliau memikul tugas yang cukup mencabar terutama ketika AirAsia X berdepan tempoh sukar, tetapi masih mampu mencatat keuntungan.

 



"Jadi ini bukan sesuatu yang baru bagi saya (pandemik), kerana kami hanya perlu 'restart' dan melihat sejauh mana kami akan pergi.

 



"Apa yang positifnya, permintaan pasaran sangat tinggi, tetapi bekalan adalah rendah. Memandangkan ketika ini tambangnya agak tinggi, jadi kita boleh mendapat manfaat daripadanya buat sementara waktu," jelasnya.

 



Menurut beliau, AirAsia X juga akan memastikan kekerapan penerbangannya berada dalam landasan yang betul.

 



"Pernah suatu ketika, kita terbang dengan lebih banyak frekuensi, jadi, kemungkinan tujuh hingga lapan atau 10 kali seminggu sudah mencukupi.

 



"Dalam hal ini, kami tidak mahu terlalu agresif dan berusaha untuk memberi tumpuan seperti sepatutnya," jelasnya.

 


 

Benyamin Ismail
                                        Benyamin Ismail

 


Sementara itu, mengenai laluan baharu, Benyamin berkata, penerbangan ke Istanbul dan London dijangka mengambil sedikit masa berdasarkan beberapa kekangan ketika ini.

 



"Bagi Istanbul kami jangka kemungkinan dalam tempoh enam bulan akan datang, manakala London pula terdapat beberapa perkara yang perlu kami selesaikan terlebih dahulu," jelasnya.

 



Pada masa ini, AirAsia X beroperasi dengan empat buah pesawat berbadan lebar jenis A330 dan dijangka beroperasi dengan sehingga 13 buah pesawat menjelang suku pertama 2023 untuk memenuhi permintaan yang kukuh dan semakin meningkat bagi penerbangan jarak sederhana dengan nilai terbaik.

 



Mulai Disember ini, kumpulan juga akan menambah lebih banyak destinasi dan meningkatkan kekerapan penerbangan kepada 53 penerbangan mingguan termasuk penerbangan harian ke destinasi popular seperti Kuala Lumpur ke Seoul (Incheon). - DagangNews.com