Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Ringgit terus mendapat manfaat daripada lonjakan harga minyak mentah global yang kini melepasi AS$60 setong.
Pagi ini, mata wang itu dibuka pada RM4.0570/0630 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.0630/0680.
Menurut AmBank Research, minyak mentah Brent menokok 2.06% kepada AS$60.56 setong manakala West Texas Intermedia naik 1.97% kepada AS$57.97 setong.
Kedua-dua penanda aras minyak ini mencapai paras tertinggi sejak Januari 2020.
"Langkah beberapa pengeluar utama mengurangkan bekalan dan harapan terhadap rangsangan ekonomi AS telah menyokong kenaikan harga minyak ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu menganggarkan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0531 dan RM4.0593 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.0728 dan RM4.0799.
Sementara itu, HLIB Research berkata, kekuatan dolar AS yang kembali mereda semalaman dan harga minyak mentah yang tinggi akan terus menyokong ringgit.
"Untuk itu, kami mengekalkan julat minggu ini pada RM4.05 hingga RM4.09 terutama menjelang cuti hujung minggu ini," katanya. - DagangNews.com