Harga minyak mentah dijangka kekal tinggi dalam tempoh yang panjang pada 2023 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Harga minyak mentah dijangka kekal tinggi dalam tempoh yang panjang pada 2023 - AmInvestment

Risiko kekurangan bekalan semakin meningkat dengan negara pengeksport minyak utama tidak dapat meningkatkan pengeluaran. - Gambar : Zbynek Burival/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Dis - AmInvestment Bank Research menjangkakan pemberian kontrak minyak dan gas (O&G) akan meningkat dengan mendadak pada suku keempat ini memandangkan nilai kontrak tempoh itu telah melepasi paras pada suku ketiga. 

 

Penganalisisnya, Lucas Tan Jun Sian berkata, kontrak yang telah dianugerahkan setakat ini antaranya, kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM4.5 bilion kepada Malaysia Marine and Heavy Engineering Bhd. (MHB) membabitkan projek kawalan dan penyimpanan karbon Kasawari di luar perairan Sarawak.

 

Selain itu, katanya, ia termasuklah kontrak bernilai RM640 juta telah diberikan kepada Velesto Energy Bhd. bagi kerja-kerja penggerudian dan menyiapkan pelantar bersepadu dan kontrak bekalan modul bahagian atas FPSO bernilai RM558 juta kepada Wah Seong Corp. Bhd.

 

"Secara dasarnya, kontrak yang diberikan kepada syarikat O&G tempatan pada suku ketiga susut 66% suku ke suku kepada RM1.04 bilion berbanding RM3.02 bilion pada suku kedua 2022. 

 

"Ini mengambil kira kontrak tidak berulang daripada Sapura Energy Bhd. (enam kontrak utama secara kolektif bernilai RM2.7 bilion dari rantau Asia Pasifik dan Atlantik) dan Coastal Contract Bhd. (kontrak RM252 juta untuk sewa kapal dan lanjutan kontrak liftboat sedia ada) pada suku kedua," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Petronas sebelum ini mengumumkan panduan perbelanjaan modal (capex) pada 2022 sebanyak RM40 bilion (tidak termasuk jumlah RM20 bilion yang diperuntukkan untuk pengambilalihan Perstorp Holding AB oleh Petronas Chemicals Group Bhd). 

 

Ia berada di landasan untuk capex yang disasarkan dengan jumlah perbelanjaan pelaburan yang dibelanjakan setakat tahun ini sebanyak RM27 bilion (meningkat 35% tahun ke tahun berbanding RM20 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021).

 

Jun Sian menjangkakan aliran kerja di dalam negara akan terus meningkat dengan mengambil kira peningkatan 31% tahun ke tahun dalam peruntukan belanjawan Petronas pada 2022.

 

Seperti yang ditekankan sebelum ini, beliau menjangkakan segmen terpilih dalam rantaian nilai akan bersaing dengan harga minyak yang lebih tinggi dan projek yang dibenarkan oleh syarikat minyak negara.

 

"Pengendali O&G yang terdedah secara langsung kepada pengeluaran huluan seperti Hibiscus Petroleum Bhd. harus menikmati harga minyak yang lebih tinggi manakala subsektor FPSO akan mendapat manfaat dengan bilangan pengendali yang semakin berkurangan ekoran kemelesetan pada 2015 hingga 2017.

 

"Yinson Holdings Bhd. pula berada di landasan yang betul untuk mendapatkan projek Agogo yang telah lama ditunggu-tunggu dalam beberapa bulan akan datang memandangkan kemenangan kontrak baru-baru ini untuk aktiviti awal daripada Azule Energy manakala Bumi Armada Bhd. telah menjadi pendahulu dalam projek Cameia selepas mengatasi pesaingnya sebelum ini," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Mengenai prospek harga minyak, Jun Sian menjangkakan harga minyak mentah kekal tinggi sekitar AS$80 hingga AS$90 setong dalam tempoh yang panjang pada 2023 di sebalik penurunan harga baru-baru ini di tengah-tengah jangkaan gangguan permintaan ekoran kelembapan ekonomi global. 

 

Menurut beliau, situasi itu berpunca daripada kesan geopolitik yang tidak menentu daripada pencerobohan Rusia di Ukraine yang telah mencetuskan sekatan, mengelak pelaburan secara sukarela oleh syarikat minyak antarabangsa, gangguan rantaian bekalan global yang substantif dan premium risiko yang tinggi untuk komoditi.

 

Katanya, selain sekatan korporat secara sukarela ke atas Rusia, risiko kekurangan bekalan semakin meningkat dengan negara pengeksport minyak utama tidak dapat meningkatkan pengeluaran ke tahap sebelum pandemik disebabkan kekurangan pelaburan yang kronik sejak lima tahun lalu di tengah-tengah prerogatif yang didorong peralihan tenaga berterusan oleh pelabur.

 

"Potensi kepada pemangkin lain termasuklah pengurangan pengeluaran lanjutan oleh OPEC+ serta kelonggaran terbaru China terhadap sekatan COVID-19, yang akan memberikan momentum menaik kepada harga minyak," katanya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan pilihan utamanya ialah Dialog Group Bhd., Yinson dan Petronas Gas Bhd. - DagangNews.com