Harga minyak mentah sukar lepasi paras AS$80 setong | DagangNews Skip to main content

Harga minyak mentah sukar lepasi paras AS$80 setong


 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Harga minyak mentah global dilihat masih tidak menentu terutama dengan kemunculan varian Delta COVID-19 boleh menjejaskan permintaan. 

 

Ini menimbulkan persoalan sejauh mana harganya boleh meningkat sepanjang 2021, sama ada ia mampu melebihi paras AS$80 setong ataupun tidak dengan mengambil kira pelbagai faktor yang masih menyelubungi prospek harga minyak mentah global. 

 

Berdasarkan laporan tematik AmInvestment Bank Research, ia menunjukkan bagi tempoh 7 bulan pertama tahun ini, harga minyak mentah Brent melonjak lebih daripada 50%, meningkat kepada AS$80 setong, kali pertama dalam tempoh lebih 2 tahun setengah. 

 

Bagaimanapun, kenaikan ini terhenti selepas harga minyak melambung selama 6 hari berturut-turut mulai 12 Ogos lalu. 

 

"Ini kerana pelabur masih bimbang dengan prospek permintaan bahan api apabila kes jangkitan COVID-19 kembali meningkat di seluruh dunia kerana lebih banyak pasaran datangnya daripada pengeluar besar global termasuk Amerika Syarikat (AS). 

 

"Pada masa sama, penularan varian Delta semakin meningkatkan kebimbangan terhadap permintaan minyak. Ini juga termasuk pelaksanaan semula sekatan bagi mengekang penularan wabak ini di samping kos yang tinggi telah menjejaskan pertumbuhan sektor perkilangan di China," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

Minyak mentah Brent susut kepada AS$68.23 setong. Penanda aras global mengalami kerugian 15% mulai akhir Julai hingga 20 Ogos. West Texas Intermediate (WTI) pula susut 15% kepada AS$62 setong dalam tempoh itu. 

 

Trend harga minyak boleh berakhir secara tiba-tiba sekiranya bank pusat mula menaikkan kadar faedah tanpa diduga yang menyebabkan kebimbangan berlakunya inflasi. 

 

"Ini boleh juga berlaku jika Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan ouput melebihi permintaan atau gagal menyerap lebihan minyak yang dikeluarkan Iran (iaitu 2.5 juta tong sehari) apabila anggota Persian Gulf OPEC kembali ke pasaran. 

 

"Tetapi, nampaknya OPEC dan sekutunya (OPEC+) berupaya menyerap tambahan eksport minyak dari Iran ini," katanya. 

 

Menurut AmInvestment, di sebalik lebih banyak sentimen positif dalam pasaran kewangan, China menunjukkan perkembangan dalam mengekang penyebaran varian Delta, menjadikan kes di peringkat tempatan kepada sifar. 

 

Ia juga menjangkakan OPEC+ akan memenuhi keperluan perjanjian yang dicapai pada separuh kedua 2021, tambahnya.

 

"Pengeluaran minyak mentah OPEC masih kekal rendah sepanjang suku ketiga dan keempat 2021. Pada suku ini, permintaan bagi minyak mentah OPEC akan melebihi 1 juta tong sehari. 

 

"Namun, perbezaan ini akan susut kepada 300,000 tong sehari pada suku keempat. Pengeluaran kartel ini akan berlegar pada purata 33 juta tong sehari pada separuh kedua 2021," jelasnya.

 

Pada 3 Disember lalu, OPEC+ mengumumkan mereka akan menyelaraskan pengeluaran sebanyak 500,000 tong sehari berbanding 7.7 juta tong sehari mulai Januari 2021 bagi menguatkan pasaran.

 

Firma itu berkata, pasaran minyak mentah mungkin menguji paras harga yang mampu diterima pasaran sebelum ia meletakkan penamat bagi pertumbuhan permintaan.

 

"Ini adalah sesuatu yang sukar untuk diukur. Tetapi unjuran kami adalah sekitar AS$80 setong. Apa-apa yang berlegar di atas paras itu akan memberi implikasi buruk kepada pertumbuhan ekonomi kerana permintaan akan terganggu. 

 

"Oleh itu, kami turut menjangkakan Brent akan menguji paras setinggi AS$70 setong dengan mudah sebelum pembelian negara Eropah berkurangan dan berpotensi mengembalikan semula minyak Iran. Ini akan menyaksikan Brent kembali susut ke paras serendah AS$70 tong," katanya. 

 

AmInvestment menjangkakan OPEC akan mengekalkan harga minyak mentah melebihi AS$70 setong bagi tahun ini. 

 

"Namun begitu, keluk hadapan kami menunjukkan nilai saksama yang rendah sedikit di bawah AS$70 setong sekitar AS$68 setong," tambahnya. - DagangNews.com