Harga minyak naik negatif terhadap fiskal Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Harga minyak naik negatif terhadap fiskal Malaysia?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Pada awal penularan pandemik COVID-19, kedudukan fiskal kerajaan menerima cabaran hebat, berjuang untuk mengimbangi perbelanjaan kesihatan dan memastikan ekonomi negara dapat bertahan. 

 

Disebabkan itu, para penganalisis menyarankan kerajaan untuk mencari alternatif kepada sumbangan hasil utama negara selain daripada sektor minyak dan gas yang ketika itu turut menyaksikan penurunan harga mendadak.

 

Malaysia akan kehilangan RM300 juta bagi setiap kejatuhan harga minyak mentah dunia sebanyak AS$1 setong, itu kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mustapa Mohamed sekitar April tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, dalam situasi minyak mentah Brent semasa yang berlegar pada paras AS$70 setong, CGS-CIMB Research menjangkakan sebarang kenaikan harga minyak dan kepatuhan terhadap harga siling bahan bakar runcit akan menjadi negatif untuk kedudukan fiskal Malaysia. 

 

Tiga penganalisis dari firma penyelidikan itu, Ivy Ng, Michelle Chia dan Nagulan Ravi melihat kos subsidi bahan bakar yang tidak disasarkan oleh kerajaan mampu mencecah RM7 bilion jika harga kekal pada tahap itu untuk sepanjang tahun ini. 

 

Anggaran itu dibuat berdasarkan andaian penggunaan tahunan subsidi RON95 dan diesel pada kadar 26.4 bilion liter bagi tahun 2021 atau 5% di bawah tahap 27.8 juta liter pada 2019 setelah mengambil kira kawalan pergerakan.

 

“Pada kadar harga minyak Brent AS$70 setong dan kadar pertukaran RM4.05 setiap dolar Amerika, kami menjangkakan harga pasaran bagi RON95 dan diesel masing-masing pada kadar RM2.33 dan RM2.37 setiap liter, menunjukkan kadar subsidi 22 hingga 28 sen seliter pada harga bahan bakar runcit semasa,” jelas ketiga-tiga penganalisis itu dalam sebuah nota kajian.

 

Di sebalik prospek negatif itu, harga Brent semasa juga mampu menyumbangkan sebanyak RM8.4 bilion hasil fiskal tambahan kepada negara, tambah nota kajian itu.

 

“Dengan andaian hasil fiskal kepada kepekaan harga minyak sebanyak RM3 bilion bagi setiap AS$10 setong, kami menjangkakan kerajaan mampu mengutip RM8.4 bilion hasil fiskal tambahan berkaitan minyak, berbanding ramalan dibuat dalam Belanjawan 2021 di mana mengambil kira purata harga minyak sebanyak AS$42 bilion,” jelas mereka lagi.  

 

Harga minyak mentah terus melonjak ke paras AS$70 setong selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) memilih untuk menyekat bekalan walaupun ekonomi global telah 'keluar' daripada kemerosotan akibat pandemik COVID-19.

 

Pertubuhan itu bersetuju untuk mengekalkan output pada April, sementara Arab Saudi masih mengekalkan potongan pengeluaran secara sukarela, sebanyak 1 juta tong setiap hari. 

 

Dari aspek pasaran ekuiti negara, ketiga-tiga penganalisis itu mendapati terdapat hubung kait yang positif antara FBM KLCI dan harga minyak mentah Brent, mungkin disebabkan oleh Malaysia sebagai pengeksport minyak dan gas bersih. 

 

Dalam masa sama, ketika tempoh harga minyak mentah yang melonjak tinggi, ringgit juga mengukuh, kata mereka.

 

“Harga minyak mentah yang lebih tinggi mendatangkan potensi positif buat sektor penerbangan dalam masa terdekat ini memandangkan ia menurunkan potensi kerugian turunan bahan bakar mereka.

 

“Bagaimanapun, harga minyak lebih tinggi boleh menjadi negatif bagi sektor perkapalan, pembuatan, kenderaan dan pengguna kerana kos pengangkutan dan bahan bakar yang lebih tinggi.

 

“Kami mengekalkan unjuran KLCI bagi 2021 pada 1,759 mata. Tiga saham pilihan kami adalah Inari Amertron Berhad, Public Bank Berhad dan Telekom Malaysia Berhad (TM),” ujar mereka. - DagangNews.com