Harga minyak patut kekal tinggi akibat krisis di Laut Merah - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Harga minyak patut kekal tinggi akibat krisis di Laut Merah - RHB Investment

Harga minyak mentah Brent bagi tahun 2024 yang diunjurkan tinggi pada AS$85 setong bagaimanapun mungkin akan semakin menurun ke paras normal pada separuh kedua tahun 2024 andai krisis Laut Merah tidak bertambah tegang. /Gambar Arvind Vallabh
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Feb - Situasi geopolitik di Laut Merah dan Asia Barat yang semakin tegang baru-baru ini seharusnya memberikan sokongan kepada industri minyak dan gas dalam jangka waktu terdekat.

 

Menurut RHB Investment Bank, harga minyak mentah Brent bagi tahun 2024 yang diunjurkan tinggi pada AS$85 setong bagaimanapun mungkin akan semakin menurun ke paras normal pada separuh kedua tahun 2024 (2H24) andai krisis Laut Merah tidak bertambah tegang.

 

"Permintaan minyak dunia rata-ratanya baik, malah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengunjurkan pertumbuhan positif 2.2 juta tong sehari (mbpd). 

 

"Pertumbuhan permintaan di kawasan-kawasan bukan bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) diberi unjuran tertinggi, iaitu 2.0mbpd untuk 2024, yang dipacu oleh China, India, rantau Asia Barat dan negara Asia lain," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB Investment juga mengunjurkan harga minyak mentah Brent bagi tahun 2025 dan 2026 berada pada paras AS$80 setong.

 

Mengenai krisis Laut Merah, firma penyelidikan itu berkata, ketegangan di perairan itu telah menjejaskan aliran perdagangan, sekali gus menyebabkan kos tambang muatan dan insurans lebih tinggi dan juga laluan penghantaran lebih jauh.

 

"Eropah juga mengimport lebih banyak produk minyak mentah dari AS dan Afrika Utara, akibat gangguan aliran perdagangan dari Asia dan rantau Asia Barat ke Eropah. 

 

"Dalam jangka dekat, harga sesetengah produk mungkin akan meningkat. Namun begitu, dalam jangka lebih panjang, para pengimport minyak utama di Asia dijangka akan terus mempelbagaikan sumbersumber import demi memastikan bekalan bahan mentah tidak terganggu," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment turut menjangkakan pertumbuhan KDNK dunia akan meningkat pada 2024. 

 

Ini berdasarkan tiga faktor pemangkin iaitu penormalan kadar faedah, inflasi mereda dan potensi pemulihan ekonomi China, kata firma itu.

 

RHB Investment dalam nota kajian itu menyenaraikan syarikat pilihan utama di Malaysia iaitu Yinson dan Dayang Enterprise.- DagangNews.com