Harga minyak sawit lemah dijangka jejaskan untung bersih syarikat perladangan pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit lemah dijangka jejaskan untung bersih syarikat perladangan pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Okt - Kelemahan harga minyak sawit mentah dijangka menjejaskan untung bersih syarikat perladangan hiliran di Malaysia pada suku ketiga 2022.

 

CGS-CIMB Research berkata, harga purata minyak sawit mentah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merosot 39.1% suku ke suku dan 9.6% tahun ke tahun pada suku ketiga kepada RM3,990 satu tan metrik.

 

Katanya, penurunan itu lebih daripada mengimbangi kenaikan 13.5% suku ke suku dan 2.7% tahun ke tahun dalam pengeluaran minyak sawit mentah yang dicapai oleh ladang-ladang Malaysia pada suku ketiga 2022.

 

"Selain itu, hasil syarikat perladangan juga akan terjejas disebabkan kos operasi yang lebih tinggi ekoran kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 pada 1 Mei lalu, harga baja lebih tinggi dan juga Cukai Makmur," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ini mendorong firma itu mengunjurkan harga minyak sawit mentah akan berlegar antara RM3,500 hingga RM4,500 satu tan metrik pada Oktober dan dijangka kekal lemah ekoran persaingan daripada eksport minyak sawit Indonesia yang lebih tinggi. 

 

Ia juga menjangkakan stok minyak sawit mentah akan meningkat 8.2% bulan ke bulan kepada 2.5 juta tan metrik pada akhir bulan ini berikutan cukai eksport Indonesia yang lebih kompetitif berbanding Malaysia.

 

"Bagaimanapun, kemerosotan harga komoditi ini terbatas disebabkan pengurangan harga yang menarik berbanding pesaing minyak boleh dimakan yang lain," jelasnya. 

 

Data yang dikeluarkan MPOB semalam menunjukkan stok minyak sawit mentah Malaysia bagi September 2022 meningkat 24.76% kepada 1.28 juta tan metrik daripada 1.03 juta tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

 

Inventori minyak sawit yang diproses turun 3.11% bulan ke bulan kepada 1.04 juta tan metrik daripada 1.07 juta tan metrik.

 

Secara keseluruhan, stok minyak sawit menambah 10.54% kepada 2.32 juta tan metrik daripada 2.09 juta tan metrik sebelum ini.

 

Eksport minyak sawit meningkat 9.25% bulan ke bulan kepada 1.40 juta tan metrik pada September daripada 1.3 juta tan metrik pada Ogos manakala eksport minyak isirung sawit meningkat 13.24% bulan ke bulan kepada 92,130 tan metrik daripada 81,356 tan metrik pada bulan sebelumnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah saham Hap Seng Plantations Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK). - DagangNews.com