Harga minyak sawit mentah berpotensi melonjak kepada RM4,500 setiap tan pada suku kedua 2024 kesan fenomena El-Nino – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah berpotensi melonjak kepada RM4,500 setiap tan pada suku kedua 2024 kesan fenomena El-Nino – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi melonjak lebih tinggi menghampiri RM4,500 setiap tan pada suku kedua 2024 didorong fenomena El-Nino, menurut MIDF Research.

 

Dengan jangkaan stok berakhir mencecah 3.3 juta tan, firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan harga MSM 2024 pada RM3,600 setiap tan.

 

Ini berikutan jangkaan bekalan yang banyak tanpa sebarang kekangan yang ketara dalam pengeluaran tempatan, katanya.

 

“Bagaimanapun, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kemungkinan permulaan peristiwa EL-Nino tertunda boleh menimbulkan risiko kepada produktiviti tanaman dalam suku kedua 2024, kami berpendapat ini boleh mewujudkan trajektori yang menggalakkan untuk harga MSM, yang berpotensi memacunya daripada RM3,600 setiap tan kepada hampir RM4,500 setiap tan pada suku kedua kelak,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada akhir Disember 2023, stok minyak sawit Malaysia telah mencecah paras empat bulan terendah berikutan kemerosotan pengeluaran.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengeluaran merosot, stok minyak sawit Malaysia cecah paras terendah 4 bulan

 

Berbanding dengan keluaran MSM pada Disember 2022, MIDF Research berkata pengeluaran pada Disember 2023 lebih rendah sedikit pada 1.6 juta tan, tetapi secara relatifnya tidak berubah pada asas tahunan dengan pertumbuhan hanya 0.5% tahun ke tahun.

 

“Ini terutamanya disebabkan oleh kekurangan penggunaan baja sepanjang dua tahun sebelumnya (terutamanya di kawasan semenanjung) berikutan keadaan cuaca yang mencabar (El-Nino sederhana pada bulan Jun hingga Julai dan banjir pada Disember),” jelasnya.

 

MIDF Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dengan purata harga MSM bagi 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak RM3,800 dan RM3,600 setiap tan.

 

Pilihan utama baharu firma itu adalah Ta Ann Holdings Berhad dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM4.25 sesaham.

 

“Ta Ann adalah penggiat huluan semata-mata dan harga saham sangat berkait dengan pergerakan MSM kira-kira 0.82 korelasi, justeru sebarang trajektori menaik dalam harga MSM (disebabkan oleh El-Nino yang akan datang pada suku kedua 2024) akan menyediakan peluang dagangan saham.

 

“Kami menjangkakan fenomena El-Nino (yang akan mengurangkan bekalan) boleh menjadi pemangkin berpotensi untuk harga MSM kekal tinggi pada bulan-bulan berikutnya kira-kiran RM3,600 hingga RM3,900 setiap tan,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, firma itu turut bimbang tentang prospek produk hiliran Ta Ann memandangkan tekanan inflasi pada paras tinggi dan perbelanjaan isi rumah yang ketat disebabkan oleh kadar tinggi faedah asas di dalam dan di seluruh dunia menghalang permintaan.

 

Setakat pukul 9:42 pagi hari ini, saham Ta Ann telah naik 2 sen atau 0.6% kepada RM3.52 dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.57 bilion. - DagangNews.com