Harga minyak sawit mentah dijangka kekal berdepan tekanan hingga akhir separuh kedua 2023 – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka kekal berdepan tekanan hingga akhir separuh kedua 2023 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal di bawah tekanan hingga akhir separuh kedua tahun ini walaupun terdapat kebimbangan terhadap potensi kesan El Nino ke atas pengeluaran.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata simpanan stok MSM pada Ogos mencecah paras tertinggi tujuh bulan pada 2.12 juta tan berikutan pemulihan pengeluaran bermusim dan eksport yang lemah.

 

Stok minyak sawit Malaysia dilaporkan melonjak sebanyak 23% bulan ke bulan pada Ogos, manakala eksport bulan tersebut susut 10%.

 

Firma penyelidikan itu berkata anggaran awal eksport Malaysia untuk penghantaran dalam 10 hari pertama September 2023 oleh Amspec dan Intertek (juruukur kargo bebas) menunjukkan kelemahan permintaan, masing-masing pada 305,594 tan dan 350,823 tan iaitu susut 20% dan 11% bulan ke bulan.

 

Maybank IB berkata eksport lemah berbeza dengan jangkaannya terhadap prospek pengeluaran yang kukuh sehingga Oktober 2023.

 

“Kami mengekalkan unjuran purata harga jualan (ASP) MSM pada 2023 sebanyak RM3,700 setiap tan kerana harganya perlu kekal kompetitif dalam jangka pendek untuk membantu merangsang permintaan di tengah-tengah jangkaan pemulihan keluaran yang kukuh dalam separuh kedua tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyeldikan itu, harga MSM telah merosot sedikit sepanjang bulan lalu susulan penguncupan jurang harganya berbanding minyak sayuran lain (kecuali harga minyak soya Amerika Syarikat), tetapi masih di bawah purata sejarah.

 

Tambahnya, lonjakan stok simpanan Ogos disebabkan tempoh pengeluaran yang tinggi menunjukkan jurang harga lebih luas diperlukan untuk membantu merangsang permintaan dalam tempoh terdekat.

 

“Oleh itu, kami terus menjangkakan harga MSM kekal di bawah tekanan pada baki separuh kedua tahun ini walaupun terdapat kebimbangan mengenai potensi kesan El Nino ke atas pengeluaran, yang berkemungkinan hanya memberi kesan kepada pengeluaran MSM paling awal pada suku kedua tahun depan, jika ada,” tambahnya.

 

Maybank IB berkata cuaca agak baik untuk kebanyakan kawasan penanaman kelapa sawit setakat ini, terutamanya di utara khatulistiwa. Namun, tempoh kemarau bermusim ini biasanya berlangsung hingga akhir Oktober.

 

Firma itu kekal ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dengan saham pilihan utama adalah Sarawak Oil Palms Bhd dan Ta Ann Holdings Bhd dengan saranan beli dan harga sasaran (TP) masing-masing pada RM2.81 dan RM3.75 sesaham.  - DagangNews.com