Harga minyak sawit mentah dijangka mendatar dalam tempoh 3 hingga 9 bulan, kata CGS-CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka mendatar dalam tempoh 3 hingga 9 bulan, kata CGS-CIMB Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - CGS-CIMB Securities menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) mendatar dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan atau lebih sebelum turun kepada antara AS$2,850 dan AS$3,000.

 

Berdasarkan analisis teknikal, Ketua Penyelidikan Runcit, Kong Seh Siang berkata harga MSM telah didagangkan dalam julat antara AS$3,200 dan AS$4,500 dalam tempoh hampir setahun dan kini pada AS$3,871.

 

“Dalam pandangan pilihan kami, harga akan mendatar bagi tiga hingga sembilan bulan lagi atau lebih sebelum turun ke arah ASS$2,850 hingga AS$3,000 seterusnya,” katanya mengulas prospek pasaran pada majlis pelancaran Niaga Hadapan Patuh Syariah Global di sini, hari ini.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa harga MSM akan meningkat pada 2024 kepada AS$4,751 hingga AS$5,220.

 

Sementara itu, harga minyak kacang soya yang pada masa ini pada AS$68.29 dan dijangka lebih kukuh sehingga akhir tahun ini dan tidak dijangka melebihi paras AS$72 hingga AS$73.

 

 

Kong Seh Siang
Kong Seh Siang

 

 

“Harga minyak kacang soya telah menurun daripada paras tertinggi sepanjang masa pada AS$91.40 dan telah melantun semula daripada paras terendah tahun ini ke tahap semasa,” katanya.

 

Bagaimanapun, jika harga minyak kacang soya melebihi AS$73, beliau berkata ia mungkin meningkat sehingga AS$78 hingga AS$80 dan kemudian kembali ke sekitar AS$90 dan trend menaik bagi jangka panjang mungkin mencapai paras psikologi AS$100.

 

Bagi harga minyak mentah Brent pula, Seh Siang berkata ia telah menurun daripada paras tertinggi AS$139.13 pada 2022 dan menunjukkan masih berterusan mendatar pada bulan-bulan akan datang.

 

“Kami berpendapat bahawa harganya akan lebih kukuh sehingga akhir tahun. Ia tidak dijangka melebihi AS$88 hingga AS$90. Ia dijangka terus mendatar sekitar AS$47.51 hingga AS$60.87 sebelum trend menaik jangka panjang semula,” ujarnya.

 

Secara alternatif, beliau berkata jika harganya melebihi AS$90, ia mungkin meningkat kepada AS$100 dan kemudian AS$115 hingga AS$118 sebelum menurun lebih banyak. - DagangNews.com