Harga minyak sawit mentah diunjur RM3,200-3,900 bulan ini | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur RM3,200-3,900 bulan ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) akan terus meningkat dalam jajaran RM3,200 hingga RM3,900 setiap tan bagi Mac 2021. 

 

Unjuran itu dibuat setelah mengambil kira ramalan inventori sawit yang lebih rendah di Malaysia di mana mengambil masa lebih lama untuk dibina kembali, menurut pandangan dua penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng dan Nagulan Ravi.

 

“Peningkatan harga MSM mungkin didorong oleh bekalan yang terhad, sementara penurunan pula disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah,” ramal mereka dalam sebuah nota kajian.

 

Berdasarkan nota kajian sama, stok minyak sawit menyusut 2% bulan ke bulan dan 25% tahun ke tahun kepada 1.30 juta tan setakat penghujung Februari 2021. 

 

Ini disebabkan oleh pengeluaran dan import yang lebih rendah selain penggunaan domestik yang lebih tinggi, jelas kedua-dua penganalisis itu.

 

Kata mereka, paras stok setakat tempoh sama adalah 9% lebih rendah daripada unjuran awal iaitu 1.43 juta tan.

 

Maka, situasi paras stok minyak sawit yang terhad serta harga minyak kacang soya dan biji sesawi yang meningkat akan mendorong harga MSM terus melonjak dalam masa terdekat ini, ramal Ng dan Ravi.

 

Output MSM pula menyusut 2% bagi perbandingan bulan ke bulan dan 14% tahun ke tahun kepada 1.11 juta tan pada bulan lalu ekoran pengeluaran hasil yang lebih lemah di Malaysia Timur, ujar mereka. 

 

“Penghasilan MSM bagi dua bulan pertama 2021 (2M21) jatuh 9% tahun ke tahun dan menyumbang kepada 12% unjuran sepanjang tahun bagi pengeluaran MSM 2021 iaitu 19.4 juta tan (+1.4% tahun ke tahun). 

 

“Kami menjangkakan pengeluaran akan meningkat semula pada separuh kedua 2021 (2H21) memandangkan kadar hasil pulih semula daripada cuaca buruk. Namun, sekiranya situasi kekurangan buruh tidak diselesaikan, ini akan menjadi risiko penurunan kepada pengeluaran,” jelas mereka.

 

CGS-CIMB mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap syarikat-syarikat perladangan dengan saham Genting Plantations Berhad dan Hap Seng Plantations Holdings Berhad merupakan pilihan teratas. 

 

Sementara itu, MIDF Research masih mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor itu dengan unjuran harga MSM pada kadar RM2,700 setiap tan bagi tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan paras inventori akan kekal di bawah 2 juta ekoran tempoh pengeluaran yang lebih perlahan.

 

“Eksport bagi Februari 2021 menyusut -5.5% bulan ke bulan kepada 0.950 juta tan metrik. Faktor yang mengheret turun permintaan eksport adalah 1) Malaysia melaksanakan semula cukai eksport (8.0%) ke atas MSM bermula 1 Januari 2021 di mana turut menjejaskan sentimen pasaran.

 

Baca : Cukai eksport minyak sawit mentah Januari 2021 ditetapkan 8%

 

“...2) pemulihan industri daging babi China daripada Demam Babi Afrika ketika China meningkatkan import kacang soya untuk melonjakkan pengembangan industri tersebut, 3) India mengenakan duti eksport lebih tinggi terhadap MSM sebanyak 5.5% kepada 35.75% bermula 1 Februari 2021. 

 

Baca : India naikkan duti import minyak sawit, jejas permintaan

 

“...dan 4) harga jualan MSM yang tinggi. Pada masa akan datang, kami menjangkakan permintaan eksport akan pulih didorong aktiviti ekonomi yang beransur pulih di India dan China serta aktiviti mengisi semula stok menjelang bulan Ramadan,” jelas firma itu dalam nota kajian berbeza. - DagangNews.com