Harga minyak sawit mentah Julai diunjur RM3,400-RM4,000 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah Julai diunjur RM3,400-RM4,000

Sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
 

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Harga minyak sawit (MSM) dianggar sekitar RM3,400 hingga RM4,000 setiap tan bagi Julai 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, unjuran tersebut dibuat setelah menilai kepada situasi inventori minyak yang boleh dimakan adalah rendah di peringkat global yang memerlukan tempoh yang lama untuk pulih.

 

"Harga purata MSM turun sebanyak 16% bulan ke bulan pada Jun, tetapi meningkat 120% kepada RM3,831/tan pada Jun 2021 berbanding tahun sebelumnya.

 

"Kami mengunjurkan harga MSM kekal kukuh sekitar RM3,400 hingga RM4,000/tan pada Julai 2021 ditengah-tengah inventori minyak yang boleh dimakan yang rendah di peringkat global.

 

"Situasi berkenaan akan mengambil tempoh yang lama untuk pulih selain terkait dengan isu kekurangan pekerja di Malaysia," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas berkaitan inventori minyak sawit, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya menganggarkan inventori mintak sawit meningkat sebanyak 15% tahun ke tahun kepada 1.61 juta tan pada akhir Jun 2021.

 

Menyentuh berkaitan eskport pula, jumlah eksport minyak sawit dianggar meningkat 9% bulan ke bulan dan menurun 19% pada Jun 2021 kepada 1.38 juta tan berbanding tahun sebelumnya.

 

Situasi berkenaan dinilai kepada jumlah eksport ke China yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya masih meletakkan harapan bekalan MSM akan kembali pulih dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Bagaimanapun, perkara tersebut dijangka lebih perlahan susulan isu kekurangan tenaga kerja.

 

"Walaupun harga MSM meningkat, harga saham syarikat-syarikat perladangan di Malaysia berada di bawah tekanan susulan kebimbangan terhadap tuduhan buruh paksa.

 

"Pemotongan levi eksport oleh Indonesia baru-baru ini turut memberi sedikit kesan negatif," tambah CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com