Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Harga minyak sawit mentah (MSM) yang mencecah purata RM3,000 ketika ini didorong oleh bekalan yang lebih terhad.
Namun, firma penyelidikan, CGS-CIMB Research tidak menafikan harga MSM akan menyusut dalam tempoh Julai hingga Disember 2021 susulan minyak boleh dimakan di peringkat global melonjak semula.
CGS-CIMB menjangkakan bekalan minyak boleh dimakan global melonjak sebanyak 6 juta tan pada tahun ini.
“Kami menjangkakan bekalan minyak boleh dimakan global akan pulih pada separuh kedua 2021 (2H21) kerana hasil MSM yang lebih baik (didorong oleh keadaan cuaca yang bertambah baik memandangkan impak La Nina dan El Nino daripada 2020 dan 2019 mulai reda).
“Kami juga menjangkakan harga jualan lebih tinggi dalam biji minyak untuk menggalakkan pekebun meningkatkan tanaman.
“Bagaimanapun, kekurangan pekerja asing di estet Malaysia, cuaca tidak menentu serta penanaman semula dan tanaman baharu yang lambat akan merencatkan kadar pertumbuhan bekalan minyak sawit, sekali gus mengekalkan harga MSM di atas harga purata 10 tahun pada 2021/2022,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.
CGS-CIMB meningkatkan unjuran harga MSM sebanyak 16% kepada RM2,900 bagi 2021 dan 8% kepada RM2,700 bagi 2022 daripada RM2,500.
Ini didorong oleh bekalan minyak sawit dan boleh dimakan yang lemah daripada jangkaan pada 2020/2021, jelas firma penyelidikan itu.
Menurut CGS-CIMB, El Nino dan La Nina telah menyebabkan penurunan bekalan minyak sawit global sebanyak 4% dan pertumbuhan bekalan minyak boleh dimakan utama yang lebih perlahan seperti minyak kacang soya dan bunga matahari.
Ini sekali gus meruncingkan bekalan minyak boleh dimakan global, jelas GCS-CIMB.
Keadaan itu direncatkan lagi oleh langkah Indonesia untuk melaksanakan kutipan eksport yang progresif ke atas produk minyak sawit untuk membiayai program B30 dan memberi mudah tunai cukup kepada pasaran kewangan.
“Ini telah melonjakkan harga bulanan MSM ke paras tertinggi sejak 2011.
“Permintaan makanan mungkin akan 'disekat' oleh harga MSM dan minyak boleh dimakan yang lebih tinggi tapi ini akan diimbangi oleh penggunaan biodiesel lebih tinggi, terutamanya dipacu oleh mandat di Kesatuan Eropah, Indonesia, Amerika Syarikat (AS), Brazil dan Malaysia.
“Secara keseluruhannya, inventori bekalan minyak boleh dimakan dan sawit yang terhad akan mereda secara beransur pada 2H21,” tambah CGS-CIMB lanjut.
CGS-CIMB mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor itu dan pilihan serantaunya adalah Wilmar International, Genting Plantations Berhad dan First Resources Ltd. - DagangNews.com