Harga minyak sawit mentah Oktober diunjur RM2,400-RM2,800 satu tan | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah Oktober diunjur RM2,400-RM2,800 satu tan

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - CGS-CIMB Research menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah RM2,400 hingga RM2,800 bagi satu tan pada Oktober 2020. 

Kadar harga itu boleh dihadkan memandangkan kebimbangan terhadap inventori ketat mungkin reda.

Situasi itu bergantung kepada pemulihan pengeluaran pada suku keempat di Indonesia sementara mandat B30 mungkin sukar untuk dipenuhi selepas tahun 2020 kerana kekurangan pembiayaan. 

“Kami kekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor ini dengan Genting Plantations, Hap Seng Plantations dan Ta Ann merupakan pilihan teratas CGS-CIMB di Malaysia,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

Dalam pada itu, tinjauan pasukan CGS-CIMB Futures mendapati pengeluaran MSM mungkin meningkat 2.6% berbanding Ogos kepada 1.91 juta tan pada September 2020. 

Eksport minyak sawit pula dijangka meningkat 9% berbanding Ogos dan 22% berbanding tahun lalu.

“Kami menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia jatuh 2% berbanding Ogos dan 32% berbanding September 2019 kepada 1.67 tan setakat September 2020.

“Sejak 10 tahun lalu, inventori minyak sawit Malaysia telah melonjak dengan purata 6.3% bagi perbandingan bulan ke bulan pada September. Angka rasmi akan dikeluarkan pada 12 Oktober depan,” tambah CGS-CIMB. 

Kata CGS-CIMB, ramalan peningkatan 3% pengeluaran MSM pada September lebih lemah daripada trend sebelum ini, iaitu 4.5% peningkatan sejak 10 tahun lalu.

Kajian itu juga mendapati ladang di Sabah merupakan pemacu utama kepada peningkatan hasil tandan buah sawit.

“Ini tidak mengejutkan kerana ladang di Semenanjung Malaysia menyaksikan pemulihan lebih cepat daripada jangkaan pada tempoh Mei hingga Julai 2020 berbanding ladang di Sabah” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com