KUALA LUMPUR 14 Ogos - Apex Securities meramalkan harga minyak sawit mentah (MSM) separuh kedua 2024 berada pada paras RM3,800 kesan daripada pengeluaran kacang soya dan minyak sawit yang lebih tinggi serta pengukuhan nilai ringgit.
Katanya, harga MSM mencatatkan keuntungan kecil pada Julai 2024 selepas mencatatkan kejatuhan selama dua bulan berturut-turut.
Firma penyelidikan itu mendapati bahawa harga MSM mencatatkan peningkatan pada awal Julai, mencecah kemuncaknya pada RM4,110/tan disebabkan kelemahan dalam ringgit dan permintaan kukuh dari China.
"Diskaun harga MSM kepada minyak soya semakin meluas, kebanyakannya kekal melebihi AS$150 (RM664.19) sepanjang bulan, sekali gus memberikan sokongan kepada harga MSM.
"Kami menjangkakan harga MSM akan berada pada paras RM3,800 pada separuh kedua disokong beberapa faktor termasuk pengeluaran kacang soya dan minyak sawit yang lebih tinggi serta pengukuhan nilai ringgit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Apex Securities berkata, stok penutup minyak sawit susut sebanyak 5.4% Julai, sejajar dengan eksport MSM yang teguh.
Pada Julai, inventori minyak sawit masih di bawah paras ambang stok tinggi 2 juta tan, disebabkan penggunaan kukuh daripada pasaran eksport yang melonjak sebanyak 39.9% bulan sebelumnya.
"Kami berpendapat lonjakan kukuh dalam eksport minyak sawit didorong oleh harga minyak kacang soya dan tenaga yang kukuh di mana kedua-dua komoditi kekal tinggi untuk sebahagian besar tempoh bulan tersebut," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor ini, kerana melihat pengeluaran tanaman yang lebih tinggi mengikut musim pada searuh kedua akan menyebabkan peningkatan harga MSM terhad.
Bagaimanapun, pelaksanaan biodiesel minyak sawit B-40 boleh menjadi pemangkin berpotensi kepada sektor itu. - DagangNews.com