Harga minyak sawit mentah tidak akan melepasi paras RM4,000 bagi baki 2023, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah tidak akan melepasi paras RM4,000 bagi baki 2023, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Okt - AmInvestment Bank Research menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) tidak akan melepasi paras RM4,000 bagi setiap tan bagi baki tahun ini.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya harga MSM akan mencecah antara RM4,000 hingga RM4,500 bagi setiap tan sebaik sahaja El Nino memberi kesan kepada produktiviti pada separuh kedua 2024.

 

Katanya, pelabur harus menggunakan strategi dagangan yang positif dari segi taktikal, berdasarkan pengesahan El Nino dan risiko geopolitik yang berpotensi meningkat perang Rusia-Ukraine dan koridor bijirin.

 

"Walaupun kami mengekalkan andaian harga kami sebanyak RM3,900 bagi setiap tan untuk 2023 hingga 2024, kami menjangkakan harga akan bergerak kukuh melepasi RM4,000 untuk setiap tan pada 2024 sebaik sahaja kesan El Nino memberi kesan kepada produktiviti," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment percaya bahawa harga MSM yang lebih tinggi pada 2024 memberi kesan positif kepada pengeluar tulen berbanding pengeluar bersepadu meandangkan sensitiviti yang lebih tinggi terhadap pergerakan harga.

 

Katanya, pengeluar bersepadu akan menyediakan asas pendapatan yang lebih stabil dan pulangan dividen yang konsisten. 

 

Firma itu berkata, tidak semua pengeluar tulen akan cenderung mendapat manfaat yang sama dari segi pendapatan.

 

"Oleh itu, untuk pendedahan Indonesia, kami lebih suka pengeluar bersepadu, kerana mereka mendapat manfaat daripada struktur cukai Indonesia dalam bentuk margin yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu," katanya. - DagangNews.com