Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Pasaran tempatan akhirnya ditutup melepasi paras rintangan 1,600 mata disokong kekuatan harga minyak global dan juga keyakinan terhadap vaksin COVID-19.
Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI mengakhiri dagangan pada 1,608.7 mata setelah ditutup 0.5% lebih tinggi petang ini.
Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 864 berbanding 339 manakala 423 kaunter kaunter.
Jumlah dagangan sebanyak 10.02 bilion bernilai RM4.69 bilion.
Kenaikan harga minyak turut memberi rahmat kepada pasaran kewangan, apabila ringgit petang ini ditutup pada RM4.0320 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada Khamis, mata wang tempatan ditutup pada RM4.0405/0445.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan ditutup lebih tinggi sejajar dengan pasaran serantau yang lain.
"Pasaran serantau mengambil petunjuk susulan pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara seperti Singapura yang menguncup kurang daripada jangkaan pada suku keempat 2020.
"Dalam pada itu, pasaran seperti eksport Korea Selatan bagi tempoh 10 hari pertama bulan ini pula melonjak 69.1% daripada tahun sebelumnya," katanya kepada DagangNews.com.
Malah, keyakinan terhadap pemulihan ekonomi juga semakin meningkat memandangkan kebanyakan negara memulakan pelancaran vaksin COVID-19.
Di samping itu, katanya, harga minyak global juga melonjak dalam dagangan hari ini mencecah paras 13 bulan tertinggi ekoran kebimbangan kekangan bekalan akibat ketegangan yang tercetus di Asia Barat.
"Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan minat pembelian baharu manakala harapan terhadap rangsangan AS dan kelonggaran sekataran akan melonjakkan permintaan bahan api," jelasnya.
Menurutnya, dalam pasaran tempatan, kaunter-kaunter berkaitan minyak dan gas di bawah indeks FBM KLCI seperti Dialog dan Petronas Dagangan, masing-masing mencatatkan keuntungan hari ini.
Indeks tenaga Bursa Malaysia juga muncul antara kaunter paling banyak merekodkan peningkatan, katanya.
"Apa yang lebih menarik, kaunter berkaitan teknologi juga meraih minat pembelian di tengah-tengah kekurangan bekalan cip global ekorang pandemik yang berterusan.
"Sudah pasti, situasi ini memberi peluang kepada syarikat semikonduktor Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan global," katanya.
Ketika ditutup petang ini, saham Petronas Dagangan menokok 1.95% kepada RM19.88 sesaham manakala Dialog naik 1.29% kepada RM3.15.
Bagi saham berkaitan teknologi, Vitrox Corporation naik 3.24% kepada RM17.84 sesaham.
Saham Dagang NeXchange (DNeX) pula aktif diniagakan dengan menokok 24.42% kepada RM0.5 sesaham selepas memuktamadkan pengambilalihan syarikat semikonduktor, SilTerra daripada Khazanah, minggu lalu. - DagangNews.com