Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Susulan pelancaran empat model edisi khas Proton hari ini, jenama kereta nasional pertama Malaysia itu turut mengumumkan senarai harga bagi keempat-empat model berkenaan.
Edisi khas Persona Edisi Hitam ditawarkan pada harga RM54,700, manakala model Exora Edisi Hitam pula pada harga RM67,800.
Bagi model Edisi Terhad Saga R3 dan Iriz R3, kedua-dua model tersebut ditawarkan pada harga RM 42,300 dan RM52,900.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, harga tersebut telah diselaras mengikut pengecualian cukai jualan di bawah Skim Penjana.
“Dengan melancarkan empat model Edisi Istimewa pada hari ini, Proton memberikan lebih pilihan kepada para pelanggan.
"Produk keluaran Malaysia ini mensasarkan pembeli kereta Malaysia dan adalah peringatan bahawa Proton mempunyai keupayaan sebagai pengeluar kereta ‘servis- sepenuhnya’ yang boleh melakarkan, membuat dan membina kereta-kereta kita sendiri bermula dari sekeping kertas kosong," katanya dalam majlis pelancaran pertama Proton 2021 yang dijalankan secara maya di laman Facebook rasmi Proton hari ini.
Sementara itu, Ketua Pereka Proton, Azlan Othman berkata, pemilihan warna hitam adalah warna terbaik untuk menggambarkan suasana elegen dan premium.
"Persona dan Exora Edisi Hitam menambahkan gaya dan kemewahan pada kenderaan yang biasanya terjual kerana kepraktisan dan keselesaannya.
"Seperti nama yang dicadangkan, ianya datang dalam warna hitam dan emas secara halus menyerlahkan lagi bumper dan roda aloi.
"Di bahagian dalam, kedua-duanya didatangkan bersama tempat duduk kulit berwarna hitam, penutup pintu dan konsol lantai dengan Persona diberikan bumbung dalaman berwarna hitam, di mana Exora pula dipasangkan dengan monitor overhead," jelasnya.
Bagi Proton Iriz dan Saga R3 Edisi Terhad, kedua-dua kereta berwarna hitam itu ditampilkan dengan kemasan kuning R3 dan kelihatan seperti kereta lumba yang dikagumi.
Lencana R3 sentiasa dikhaskan untuk model Proton paling sporty, kedua-dua Iriz dan Saga merupakan calon-calon yang paling sesuai untuk moniker tersebut.
Iriz dilengkapi dengan roda aloi 16-inci R3 sementara Saga pula dilengkapkan dengan roda aloi 15-inci kemasan kelabu matte.
Bodykit R3 sporty lengkap pada luaran kereta, manakala bahagian dalaman berwarna hitam-kuning yang unik, tempat duduk kulit dan karpet R3 membolehkan suasana tersendiri dengan penampilan sporty.
Ujar Azlan lagi, bahagian kenderaan tersebut menampilkan tema R3 dengan percikan warna kuning di panel tengah, kombinasi meter dan ventilasi penyaman udara yang dipadankan dengan Alas Kaki Khusus R3.
"Tempat duduk kelulit, stereng kelulit dan lambang R3 di papan pemuka memastikan inilah Saga yang tiada tandingan," katanya lagi. - DagangNews.com