Harga MSM dijangka menurun pada Q2, HLIB kekal unjuran RM3,500 satu tan metrik pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Harga MSM dijangka menurun pada Q2, HLIB kekal unjuran RM3,500 satu tan metrik pada 2022

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Harga minyak mentah sawit (MSM) dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat, sekurang-kurangnya sehingga suku pertama sebelum mula mengalami penurunan pada suku kedua 2022 (Q2), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Chye Wen Fei berkata, fenomena La Nina dijangka menjejaskan pengeluaran kacang soya di Amerika Selatan disebabkan kurangnya hujan akan menyebabkan penanamannya tertangguh. 

 

Katanya, faktor tersebut dilihat akan menyokong harga MSM kekal tinggi dalam tempoh berkenaan selain musim pengeluaran rendah yang dijangka berakhir pada suku pertama dan ini menjadi petanda baik kepada harga MSM dalam tempoh terdekat. 

 

"Namun, kami berpegang pada pandangan bahawa harga MSM akan menurun pada suku kedua dan seterusnya.

 

"Ini berikutan keyakinan yang meningkat terhadap prospek pengeluaran minyak sayuran utama (termasuk minyak sawit dan kacang soya), inventori yang lebih tinggi di negara pengguna minyak sayuran utama (seperti China dan India) dan pengurangan yang kecil bagi minyak sawit berbanding kacang soya.

 

"Bagaimanapun, kadar penurunan harga MSM mungkin berubah menjadi lebih perlahan daripada jangkaan," katanya.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan disokong prospek pendapatan jangka pendek yang baik (berikutan harga MSM yang tinggi) dan penilaian yang membanggakan.

 

Wen Fei mengekalkan anggaran harga MSM pada 2022 dan 2023 masing-masing sekitar RM3,500 satu tan metrik dan RM2,900 satu tan metrik. 

 

"Kami menjangkakan bekalan minyak sayuran akan kekal ketat untuk beberapa bulan akan datang, manakala penurunan harga MSM yang lebih ketara hanya akan berlaku apabila bekalan minyak sayuran (khususnya, minyak sawit dan kacang soya) mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan (mungkin menjelang suku kedua 2022)," jelasnya. 

 

Dalam kalangan saham di bawah liputannya, firma itu memberi saranan 'beli' terhadap IOI Corp Bhd. dengan harga sasaran (TP) pada RM4.35 diikuti Kuala Lumpur Kepong Bhd. (TP : RM25.62), Sime Darby Plantation Bhd. (TP : RM5.03) dan TSH Resources (TP : RM1.35). - DagangNews.com