Harga saham Duopharma Biotech kembali pulih, dapat kelulusan terbitan saham bonus | DagangNews Skip to main content

Harga saham Duopharma Biotech kembali pulih, dapat kelulusan terbitan saham bonus

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Duopharma Biotech Berhad hari ini mendapat kelulusan pemegang saham bagi terbitan saham bonus seperti dicadangkan 3 Mei lalu yang dicapai dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah secara maya.

 

Langkah ini akan memerlukan terbitan 235.44 juta saham bonus berdasarkan 1 saham bonus untuk setiap 3 saham Duopharma Biotech yang ada. 

 

"Bagaimanapun, tarikh kelayakan yang akan diberi diumumkan kemudian," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Menerusi terbitan saham bonus itu, ia membolehkan pemegang saham Duopharma Biotech terlibat dengan lebih meluas dalam ekuiti kumpulan, dari segi jumlah saham, di samping mengekalkan peratusan kepentingan ekuiti sedia ada. 

 

Selain itu, ia juga akan meningkatkan kecairan saham Duopharma Biotech. 

 

Pengerusi Duopharma Biotech, Tan Sri Siti Sa’diah Sh Bakir berkata, keyakinan pemegang saham adalah sangat penting buat kumpulan dan terbitan saham bonus ni adalah antara cara untuk menghargai kepercayaan mereka. 

 

"Kami akan terus meneroka peluang perniagaan baharu yang bersesuaian dan menggalakkan, selain berusaha ke arah prestasi yang lebih kukuh pada masa depan," katanya. 

 

Susulan kelulusan yang diberikan pemegang saham itu, saham Duopharma kembali pulih dalam dagangan hari ini setelah mencecah paras 13 bulan terendah pada Khamis.

 

Pada harga RM2.35 semalam, ia adalah paras terendah sejak 22 Julai 2020.

 

Setakat 2.30 petang ini, harga sahamnya menokok 7 sen kepada RM2.45 setelah bergerak antara RM2.40 hingga RM2.53.

 

Dengan 2.6 juta saham diniagakan, ia menyaksikan pasaran modal syarikat bernilai RM1.74 bilion. - DagangNews.com