Harga saham Sapura Energy merosot sehingga 12%, selepas jatuh dalam status PN17 | DagangNews Skip to main content

Harga saham Sapura Energy merosot sehingga 12%, selepas jatuh dalam status PN17

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Jun - Sapura Energy Bhd. muncul kaunter paling aktif diniagakan pagi ini, dengan harga sahamnya susut sehingga 12% selepas kumpulan mengumumkan ia diklasifikasikan sebagai penerbit terjejas di bawah Nota Amalan 17 (PN17). 

 

"Ini berikutan kebimbangan berterusan terhadap kedudukan ekuiti pemegang saham sebanyak RM85 juta pada 31 Januari 2022, iaitu kurang daripada 50% daripada modal sahamnya sebanyak RM10.9 bilion," menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.

 

Setakat 10.31 pagi ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 11.76% kepada 7.5 sen dengan 110.73 juta saham diniagakan.

 

PN17 adalah klasifikasi syarikat senaraian awam yang berdepan masalah kewangan dan ia perlu mengemukakan cadangan mengenai penstrukturan semula bagi mengekalkan status penyenaraiannya.

 

TERBAHARU: Sapura Energy menjangkakan persekitaran operasi lebih baik

 

Sapura Energy berkata, kumpulan sedang merangka pelan penyusunan semula untuk menangani status PN17 seiring dengan cadangan skim pengaturan dan akan membuat pengumuman secara bulanan mengenai kemajuannya.

 

Malah, ia juga ia sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani status PN17 itu.

 

Baca : Sapura Energy belum lagi 'terselamat' daripada diklasifikasi PN17 - Penganalisis

 

Dalam nota kajian semalam, Public Investment Bank Research berkata, Sapura Energy berkemungkinan besar diklasifikasikan sebagai PN17 disebabkan kekurangan dalam modal sahamnya dan daya maju memandangkan usaha masih berterusan.

 

Kumpulan juga, katanya, telah bertindak untuk menyelesaikan cabaran kecairan, termasuk rundingan dengan pelanggan kontrak sedia ada, dengan tujuan penyelesaian yang baik untuk memulihkan atau mengehadkan kerugian.

 

"Ia juga sedang berunding dengan vendornya mengenai pembayaran tertunggak dan pemberi pinjaman melalui kemudahan sedia ada atau baharu dan di bawah Skim Pengaturan (SOA).

 

"Sementara itu, perbincangan mengenai pengewangan aset selanjutnya juga sedang dijalankan," jelasnya.

 

Bagaimanapun, ia menyemak naik penarafan saham Sapura Energy kepada 'neutral' dengan harga sasaran disemak semula kepada 5 sen daripada 3 sen sebelum ini. - DagangNews.com