Harga sawit pacu prestasi KLK - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Harga sawit pacu prestasi KLK - Penganalisis

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dijangka merekodkan hasil yang lebih baik pada tahun kewangan 2021 dipacu oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak isirung sawit yang lebih tinggi. 

 

Prestasi yang lebih baik ini disebabkan situasi bekalan minyak boleh dimakan yang lebih ketat dan hasil tandan buah segar (TBS) yang kembali pulih menerusi ladang sawit miliknya di Indonesia. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, bagaimanapun, segmen oleokimia KLK akan lebih mencabar berikutan permintaan lemah akibat peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia dan juga kos bahan mentah semakin meningkat. 

 

"Tetapi secara keseluruhan, kami mengunjurkan KLK akan merekodkan peningkatan 17% keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2021. 

 

"Malah, kami juha meningkatkan jangkaan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 yang mencerminkan anggaran harga MSM lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KLK dan syarikat induknya, Batu Kawan Berhad menjangkakan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021 meningkat didorong oleh kenaikan harga MSM ekoran bekalan yang ketat dan eksport yang tinggi.  

 

Namun, syarikat itu masih berhati-hati terhadap prospek masa depannya memandangkan segmen oleokimia dan kimia perindustrian masih berdepan cabaran apabila penularan COVID-19 masih berterusan. 

 

Bagi suku keempat berakhir 30 September 2020, keuntungan bersih KLK berkembang 19.31% kepadaRM208.82 juta berbanding RM175.02 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat 5.29% pada RM4 bilion berbanding RM3.8 bilion. 

 

Sementara itu, Penganalisis MIDF Research, Martin Foo Chuan Loong berkata, pemulihan harga MSM yang lebih tinggi telah memberi sokongan yang baik kepada kumpulan. 

 

Ini akan terus disokong oleh pertumbuhan TBS yang lebih tinggi terutama setelah pengambilalihan ladang sawit brownfield dari TSH Resources Bhd. yang dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2021. 

 

"Bagaimanapun, dengan lonjakan kes COVID-19 di seluruh dunia, kami menjangkakan prestasi segmen pembuatan akan menerima kesan negatif. 

 

"Dalam masa sama, pemulihan bagi jualan hartanah juga akan terkesan dengan pelaksanakan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). Untuk itu, kami mengekalkan pandangan 'Neutral' untuk saham KLK," katanya. - DagangNews.com