KUALA LUMPUR 23 Feb - IOI Corp. Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM494.7 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021, meningkat 39% daripada RM355.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 67.76% kepada RM4.11 bilion berbanding RM2.45 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Keuntungan segmen perladangan dalam tempoh itu adalah 73% lebih tinggi kepada RM1.06 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya pada RM613.9 juta.
Ini disebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung direalisasikan yang lebih tinggi, mengimbangi pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah.
Dalam tempoh suku dikaji, harga MSM dan isirung direalisasikan masing-masing ialah RM4,305 satu tan metrik dan RM3,112 satu tan metrik.
Sementara itu, untuk segmen pembuatan berasaskan sumber, mencatat keuntungan sebanyak RM198.9 juta berbanding RM60.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong terutamanya menerusi subsegmen oleokimia dengan margin yang semakin meningkat.
Sementara itu, bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021, untung bersihnya meningkat kepada RM772.3 juta daripada RM633.6 juta manakala pendapatn juga melonjak kepada RM7.74 bilion berbanding RM4.93 bilion.
Mengenai prospek kumpulan, IOI Corp. menjangkakan harga MSM akan kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun ini disokong kekangan bekalan minyak boleh dimakan dan juga pertumbuhan ekonomi global susulan peralihan fasa pandemik kepada endemik.
Bagi segmen perladangan, katanya, pengeluaran buah tandan segar bagi tahun kewangan 2022 (FY22) itu dijangka terjejas oleh faktor musim, kekurangan buruh dan gangguan operasi akibat penularan varian Omicron.
"Namun begitu, dengan harga minyak sawit yang kukuh dan inisiatif mekanisasi yang diperhebat di ladang kami, segmen perladangan dijangka menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tahun kewangan semasa," katanya.
Bagi subsegmen oleokimia, kumpulan menjangkakan margin produk akan terjejas oleh kenaikan mendadak harga bahan mentah minyak isirung sawit sejak Disember 2021, walaupun permintaan terpendam untuk produk masih kekal kukuh disebabkan kesesakan rantaian bekalan yang lebih awal dan sejajar pertumbuhan ekonomi global.
"Kami menjangkakan subsegmen ini akan menunjukkan prestasi yang memuaskan bagi baki tempoh FY22," tambahnya. - DagangNews.com