Harga siling 1 vaksin COVID-19 AS$21 di bawah COVAX | DagangNews Skip to main content

Harga siling 1 vaksin COVID-19 AS$21 di bawah COVAX

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Salah satu pembangun vaksin COVID-19 di dunia, COVID-19 Global Vaccine Access (COVAX) menawarkan maksimum AS$22 (RM87.54) untuk satu vaksin kepada Malaysia. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan COVAX yang dilaksanakan bersama menerusi Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara. 

Jelasnya, pihak kerajaan sedang mengkaji beberapa klausa di dalam perjanjian dengan COVAX yang masih perlu diperhalusi.

“Kita berharap dapat menandatangani penyertaan itu dalam jangka masa terdekat.

“Namun, ingin saya jelaskan, COVAX ini hanya sebahagian sahaja daripada keperluan kita untuk mendapatkan vaksin COVID-19, sebahagian besar akan kita perolehi melalui rundingan dua hala dengan negara atau syarikat lain,” kata Khairy dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Baca : Bayaran pendahuluan RM84.7 juta jika Malaysia pilih vaksin COVID-19 dari COVAX?

Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd. Edris (Bersatu-Libaran) mengenai langkah kerajaan dalam menjamin bekalan vaksin COVID-19 kepada masyarakat bagi mewujudkan imuniti kelompok.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), Khairy berkata,  kerajaan melalui jawatankuasa sedia ada telah memberitahu Kementerian Kewangan untuk peruntukan sehingga RM3 bilion bagi tahun hadapan bagi imunisasi 70% daripada polulasi rakyat Malaysia. - DagangNews.com