Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Mac - Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter.
Ini bermakna, kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai RM3 bilion pada harga semasa, ujarnya.
“Berdasarkan trend semasa, adalah dijangkakan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.
“Kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum atau LPG.
“Harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kilogram pada masa ini adalah sekitar RM50. Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong. ,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini.
Oleh itu, katanya, kerajaan telah memberi subsidi hampir 50% bagi setiap tong LPG 14kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah.
Ujarnya lagi, kerajaan akan terus memberi subsidi berkenaan supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan. - DagangNews.com