SEREMBAN 22 Mac - Kenaikan harga simen sekarang adalah didorong oleh kenaikan harga bahan mentah yang digunakan dalam proses pembuatan, khususnya arang batu di pasaran antarabangsa.
Pengarah Urusan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) Sharuddin Omar Hashim berkata, bahan mentah mengalami kenaikan harga, termasuk arang batu yang kini merangkumi 30% hingga 40% daripada kos pengeluaran simen, sekali gus menyebabkan syarikat pembuatan tiada pilihan selain menaikkan harga.
Menurut beliau, kenaikan harga arang batu sekarang didorong oleh larangan eksport Indonesia, serta konflik antara Rusia dan Ukraine.
“Harga arang batu sebelum ini berada dalam lingkungan AS$60 (RM252) hingga AS$70 (RM294) satu tan, tetapi kini meningkat kepada AS$200 (RM842) satu tan dan mungkin mencecah sehingga AS$400 (RM 1,685).
“Larangan eksport dari Indonesia ke negara lain, serta konflik Rusia-Ukraine, menyebabkan kesukaran mendapatkan bekalan arang batu, sekali gus menyebabkan harga bahan mentah menjadi tinggi,” katanya kepada pemberita pada majlis taklimat dan penghargaan media di sini hari ini.
Beliau berkata, harga bahan mentah lain dalam pengeluaran simen juga meningkat dengan agak tinggi berikutan penularan wabak Covid-19 selain masalah kesesakan dari segi logistik dan pengedaran.
Sharuddin berkata, syarikatnya cuba sedaya-upaya untuk mengoptimumkan pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran melalui penggunaan bahan alternatif lain. - DagangNews.com