Harga simen meningkat antara 0.1% dan 2.2% pada Oktober 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga simen meningkat antara 0.1% dan 2.2% pada Oktober 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.1% dan 2.2% bagi kebanyakan kawasan pada Oktober 2023 berbanding bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, terdapat penurunan dicatatkan bagi kawasan Perak (-0.2%), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.3%) dan Johor (-1%).

 

"Indeks seunit harga pasir turut merekodkan peningkatan antara 0.6% dan 3.3%  bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak seperti di Perak (2.2%), Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.6%), Kuching (2.8%) dan Miri (3.3%). 

 

"Indeks harga seunit bahan ini kekal tidak berubah bagi semua kawasan di Sabah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Perbandingan bulanan pada Oktober 2023 mencatatkan penurunan indeks harga seunit besi iaitu antara negatif 0.9% dan negatif 3.5% bagi hampir semua kawasan. 

 

Selain daripada itu, indeks harga seunit keratan keluli dan logam pula mencatatkan penurunan harga antara 0.3% dan 1.1% bagi hampir kesemua kawasan berbanding September 2023.

 

Perbandingan tahunan untuk tempoh Oktober 2022 dan Oktober 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 2.8% dan 29.4% bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

 

dosm

 

 

Peningkatan tertinggi indeks harga seunit simen adalah kawasan Kelantan dan Terengganu (29.4%) dan diikuti kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (25.7%). 

 

Indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara negatif 0.1% hingga negatif 5.8% bagi Oktober 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, terdapat peningkatan indeks harga seunit besi dicatatkan di Perak (0.6%), Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.4%) dan Sandakan (1.4%).

 

Mohd Uzir berkata, purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan yang kecil iaitu 0.2% dengan purata harga RM22.94 per 50 kg sekarung berbanding September 2023 (RM22.89 per 50 kg sekarung). 

 

Manakala, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'Mycon 60 high tensile deformed bars' adalah RM3,590.40 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan yang kecil iaitu 0.1% berbanding bulan sebelumnya.

 

"Selain daripada itu, perbandingan bulanan indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi Oktober 2023 mencatatkan peningkatan antara 0.2% dan 0.7% bagi dua kawasan Semenanjung Malaysia khususnya di Perak dan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 

 

"Namun begitu terdapat sedikit penurunan bagi IKB (termasuk bar keluli) antara negatif 0.2% dan negatif 1% dicatatkan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan serta Terengganu," katanya.

 

IKB (termasuk bar keluli) di Sabah pula menunjukkan peningkatan di antara 0.4% dan 0.6% bagi hampir semua kategori bangunan di Sandakan dan Tawau pada Oktober 2023 berbanding bulan sebelumnya. 

 

Manakala indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu mencatatkan penurunan sebanyak negatif 0.3% dan negatif 1.6%, kecuali bagi bangunan kayu dan cerucuk kayu.

 

Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada Oktober 2023 menunjukkan peningkatan indeks di antara 0.1% dan 0.4% bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri. 

 

Manakala indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu kekal tidak berubah berbanding September 2023. - DagangNews.com