Harga terbitan nota senior GENM Capital ditetapkan AS$1 bilion | DagangNews Skip to main content

Harga terbitan nota senior GENM Capital ditetapkan AS$1 bilion

Genting Malaysia Bhd

KUALA LUMPUR 14 April - Anak syarikat milik penuh Genting Malaysia Bhd., GENM Capital Labuan Ltd (GENM Capital) membuat penetapan harga terbitan nota senior bernilai AS$1 bilion.

 

Nilai itu ditetapkan tidak bercagar pada kadar agregat prinsipal 3.88% yang akan matang pada 2031.

 

Nota senior merupakan sekuriti hutang atau bon yang mendahului nota tidak bercagar yang lain sekiranya  berlaku kebankrapan. 

 

Genting Malaysia memberitahu, nota tersebut akan dijamin sepenuhnya serta tanpa syarat oleh syarikat berkenaan.

 

“Nota-nota itu telah ditawarkan dan hanya dijual di Amerika Syarikat (AS) kepada pembeli institusi yang layak serta kepada bukan pemastautin AS bagi transaksi luar pesisir di luar negara itu mengikut Peraturan S Akta Sekuriti.

 

"Nota-nota itu dijangka disenaraikan dan disebut harga dalam Senarai Rasmi Singapore Exchange Securities Trading Ltd.

 

"Ia juga disenaraikan tetapi tanpa disebut harga bagi dagangan di Bursa Malaysia Securities Bhd.," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia seperti dilapor Bernama semalam. 

 

Mengulas lanjut, Genting Malaysia memberitahu, a nota tersebut juga diberi penarafan BBB daripada kedua-dua agensi penarafan Standard & Poor’s Ratings Services dan Fitch Ratings Ltd.

 

Penyelaras global bersama bagi tawaran itu adalah Citigroup Global Markets Singapore Pte Ltd, J.P. Morgan (S.E.A.) Ltd, CIMB Bank Bhd Cawangan Luar Pesisir Labuan dan DBS Bank Ltd.

 

Selain itu, Citigroup Global Markets Singapore Pte Ltd, J.P. Morgan (S.E.A.) Limited, CIMB Bank Cawangan Luar Pesisir Labuan, DBS Bank Ltd dan BNP Paribas berperanan sebagai penaja jamin bersama dan pengurus utama bersama bagi terbitan berkenaan. - DagangNews.com