Hartalega jangka bayaran balik yuran perekrutan cecah RM40-50j | DagangNews Skip to main content

Hartalega jangka bayaran balik yuran perekrutan cecah RM40-50j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Syarikat pembekal sarung tangan getah, Hartalega Holdings (Hartalega) menjangkakan pembayaran semula yuran perekrutan kepada pekerja asingnya mencecah RM40 juta hingga RM50 juta.

Angka itu meliputi semua jumlah pekerja asing di syarikat itu sejak lima tahun lalu. 

Jelas Hartalega kepada CGS-CIMB Research, pihaknya dalam peringkat akhir untuk mengkaji isu tersebut.

“Hartalega juga menyatakan bahawa syarikat itu telah mengamalkan dasar pengambilan yuran sifar bermula April 2019.

“(Tetapi) CGS-CIMB Research belum memasukkan angka pembayaran berkenaan ke dalam data kami,” jelas CGS-CIMB Research menerusi laporan analisisnya.

Selain Hartalega, syarikat sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad turut terpalit dengan isu sama.

Dalam pada itu, syarikat WRP Asia Pacific yang dikaitkan isu sama mula membayar semula yuran perekrutan kepada pekerja asingnya sejak bulan lalu. 

Pekerja asing didakwa terpaksa membayar yuran perekrutan kepada ejen secara berkala untuk mendapatkan pekerjaan di sektor seperti perladangan dan pembinaan.

Sementara itu, produk sarung tangan antimikrob (AMG) oleh Hartalega belum dapat dipasarkan kerana pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA).

“Berdasarkan harganya yang premium, Hartalega percaya ini bukan waktu yang tepat untuk melancarkan produk itu dan produk sedia ada juga mencatatkan purata harga jualan industri (ASP) yang tinggi,” jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com