Harumanis 'diterbangkan' Airasia ke Sabah | DagangNews Skip to main content

Harumanis 'diterbangkan' Airasia ke Sabah

Penghantaran pertama mangga Harumanis itu ke Kota Kinabalu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) hari ini, menerusi Majlis Flag-Off yang disempurnakan bersama oleh Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Pengerusi Eksekutif Airasia Group Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Tan Sri Tony Fernandes.

 

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Penggemar mangga Harumanis di Sabah kini boleh mendapatkan buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan dengan airasia farm, anak syarikat Airasia.

 

Penghantaran pertama itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) melalui penerbangan AirAsia AK5104 pada pukul 10:25 pagi.

 

Mangga tersebut kemudian akan dihantar ke Tune Hotels Kota Kinabalu sebagai lokasi pengambilan rakan perkhidmatan penghantarnya di Sabah dan airasia farm kemudian akan mengedarkan mangga ini kepada peruncit utama di Kota Kinabalu.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan memperluaskan pengedaran Harumanis ke seluruh negara, tetapi juga membawa buah mangga yang cukup eksklusif ini ke Sabah secara rasmi buat pertama kali dalam skala yang besar. 

 

Ini sejajar dengan penekanan kementerian terhadap sektor pertanian bernilai tinggi yang dapat mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat.

 

Tahun ini, katanya, Jabatan Pertanian menyasarkan hasil pengeluaran sebanyak 3,336 tan metrik mangga Harumanis bernilai RM66.7 juta di Perlis.

 

Daripada jumlah itu, dianggarkan sekitar 50% akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti airasia food, airasia fresh dan agrobazaar online.

 

"Industri Harumanis bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan kepada 2,415 pengusaha harumanis di Perlis, malah mempunyai impak yang besar terhadap ekonomi serta industri agro-pelancongan dan rantaian bekalan di seluruh negara," katanya. 

 

Flag Off Harumanis ke Sabah ini merupakan sebahagian daripada kempen ‘Harumanis Kembali Lagi’ yang dilancarkan 11 April lalu di Beseri, Perlis.

 

Turut hadir pada majlis di klia2 itu, termasuklah Pengerusi Eksekutif Airasia Group Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Tan Sri Tony Fernandes.

 

Mangga istimewa dari Perlis ini boleh didapati untuk pesanan dalam talian melalui airasia fresh dan airasia food di Semenanjung Malaysia dan melalui foodpanda di Sabah. 

 

Para pelanggan di Semenanjung Malaysia boleh memilih untuk menjadualkan penghantaran mereka pada tarikh akan datang melalui airasia Fresh atau menerima pesanan mereka dalam masa satu jam selepas pembelian melalui airasia food.

 

Sementara itu, Pengurus Besar airasia farm, Lalitha Sivanaser brekata, penghantaran pertama Harumanis sebagai komoditi eksport itu adalah dengan memanfaatkan ekosistem dan teknologi kumpulan airasia seperti Teleport, dan penggunaan platform e-dagang oleh airasia food dan airasia fresh.

 

Tambahnya, kerjasama dengan MAFI membolehkan penghantaran mangga Harumanis ke Sabah dalam masa kurang daripada 72 jam setelah tuaian bagi memastikan ia benar-benar segar dari ladang.

 

“Matlamat jangka panjang kami adalah untuk memberikan nilai yang lebih baik dan memberi manfaat kepada ribuan petani Harumanis di Perlis supaya mereka dapat menjana pendapatan yang lebih baik untuk tuaian mereka secara dalam talian dan di seluruh rantau ini pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com