Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pemaju hartanah, Sime Darby Property Berhad mencatatkan hasil separuh tahun pertama 2020 (1H20) bernilai RM764,962 juta, merosot 46.9% berbanding tempoh sama tahun lalu (RM1,441,029 juta).
Sime Darby Property berkata, prestasi kewangan berkenaan terjejas akibat penutupan galeri jualan dan aktiviti pembangunan ditangguh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Segmen Pembangunan Hartanah merekodkan kerugian sebanyak RM89.5 juta berbanding keuntungan yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lalu (RM248.6 juta).
“Segmen Pelaburan Hartanah pula mencatatkan kerugian sebanyak RM4.5 juta berbanding kerugian RM8.4 juta yang dicatatkan pada tahun lalu. Ini adalah berikutan penutupan aset dan pengurangan kadar penghunian serta rebat sewa yang ditawarkan ketika PKP.
“Segmen ini lebih terjejas apabila perbelanjaan awal dikeluarkan untuk KL East Mall, pusat beli belah Sime Darby Property di Taman Melawati,” kata Sime Darby dalam sebuah kenyataan hari ini.
Segmen Riadah kumpulan itu pula mencatatkan kerugian sebanyak RM15.8 juta berbanding kerugian sebanyak RM8.6 juta yang dicatatkan pada separuh pertama tahun 2019.
Tempoh yang sama pada tahun kewangan 2019 juga menyaksikan keuntungan sekali gus melalui penjualan tanah berjumlah RM147 juta dan pelupusan aset berjumlah RM208.8 juta.
Sementara itu, Sime Darby Property juga meraih RM680 juta daripada tempahan awal hartanah menerusi kempen dalam taliannya bermula 25 Mac hingga 5 Julai 2020.
Baca : Kempen atas talian Sime Darby Property jana RM680j
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya terus fokus untuk membersihkan inventori produk yang tidak terjual dan melipatgandakan usaha jualan dan pemasaran.
“Walaupun terdapat ramai penjual daripada pembeli dalam pasaran (soft market), namun kempen kami mendapat sambutan menggalakkan dan strategi pemasaran digital telah meningkatkan prestasi jualan,” kata beliau dalam kenyataan sama.
Bagi prospek tahun kewangan 2020, Sime Darby Property menjangkakan ekonomi akan beransur pulih selepas kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan dan semakan dasar termasuk Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan potongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 1.75%.
Ini dapat membantu proses pemulihan sektor hartanah sekali gus menambahbaik prestasi kewangan Sime Darby Property.
Berhubung HOC, Sime Darby Property kini menerima tempahan bernilai RM1.1 bilion setakat 31 Julai 2020.
Jelas kumpulan itu, pihaknya ketika ini menumpukan ke arah kestabilan kewangan menerusi inisiatif untuk merasionalkan kos seperti aliran tunai dan pengurusan inventori. - DagangNews.com