KUALA LUMPUR 18 Nov - Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC), Datuk Zaiton Mohd Hassan dilantik sebagai Naib Presiden badan perakaunan global Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), yang mewakili lebih 252,500 ahli di 180 negara.
Beliau memegang jawatan CEO penyedia biasiswa terkemuka Malaysia itu yang ditubuhkan untuk membantu pelajar dari latar belakang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian dalam bidang kewangan.
Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Kanan dan Pengerusi GX Bank iaitu bank digital pertama di Malaysia.
Zaiton berkata, beliau berbesar hati dilantik sebagai Naib Presiden ACCA dan tidak sabar untuk menyumbang pengalamannya.
"Saya menantikan penglibatan berterusan saya dengan badan global yang penting ini. Saya juga berbangga kerana ACCA menawarkan akses terbuka kepada profesion perakaunan, memainkan peranan dalam meningkatkan mobiliti sosial dan menyumbang kepada pembentukan masa depan yang lebih adil untuk semua.
"Saya sangat menekankan peluang yang adil untuk semua individu tanpa mengira latar belakang. Saya berharap dapat membantu menerusi peranan saya sebagai Naib Presiden ACCA," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau telah dipilih sebagai anggota Majlis ACCA pada tahun 2016 dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia.
Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Akauntan Profesional dalam Perniagaan (PAIB) Persekutuan Antarabangsa Akauntan (IFAC).
Selain Zaiton, ACCA turut menyaksikan pelantikan pakar strategi kelestarian dari Pakistan, Ayla Majid sebagai Presiden ACCA Asia Selatan dan Melanie Proffitt dari England selaku Timbalan Presiden baharu.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah ACCA di mana wanita memegang ketiga-tiga jawatan tertinggi serentak. - DagangNews.com