KUALA LUMPUR 18 Nov - CJ Century Logistics Holdings Bhd diunjur mencatat keuntungan suku tahunan antara RM2 juta hingga RM2.5 juta pada suku ketiga tahun ini (3QFY24) dipacu peningkatan dalam jumlah logistik dan perkhidmatan perolehan logistik, kata TA Securities.
Katanya, julat itu akan menjadikan keuntungan terkumpul CJ Century untuk sembilan bulan pertama 2024 kepada antara RM4.2 juta hingga RM4.5 juta, mencapai 64% ingga 71% daripada sasaran setahun penuhnya.
“Secara khusus, kami menjangkakan kedua-dua bahagian teras, iaitu, jumlah perkhidmatan logistik dan perkhidmatan perolehan logistik akan meraih keuntungan yang lebih tinggi daripada suku sebelumnya, yang terjejas oleh gangguan perkapalan dan kesesakan pelabuhan.
"Kami mengekalkan saranan "jual" ke atas CJ Century dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak 26 sen, turun daripada 31 sen, kesan ketidaktentuan yang berterusan dalam landskap perdagangan global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar pengangkutan global menyaksikan pembetulan yang ketara, jatuh daripada AS$5,937 (RM26,538) pada Julai 2024 kepada AS$3,440 menjelang pertengahan November, apabila laluan perkapalan diselaraskan untuk memintas Laut Merah.
Bagaimanapun, kenaikan kadar tambang baru-baru ini, serentak dengan pemilihan semula Donald Trump sebagai presiden AS, mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai potensi peningkatan dalam ketegangan perdagangan.
Trump mencadangkan tarif menyeluruh, termasuk potensi cukai menyeluruh 10% hingga 20% ke atas semua import dan tambahan 60% hingga 100% levi ke atas barangan China.
Dasar itu ditetapkan untuk berkuat kuasa pada 2025, boleh memperbaharui ketegangan perdagangan global, dengan potensi kesan riak ke atas rantaian bekalan global.
"Menjangkakan 2025, keamatan perang perdagangan antara AS dan China pastinya akan menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi perdagangan global dan ekonomi dunia," katanya.- DagangNews.com