Farm Price batal rancangan terbitan waran bonus, seminggu selepas mengumumkannya | DagangNews Skip to main content

Farm Price batal rancangan terbitan waran bonus, seminggu selepas mengumumkannya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Nov - Pembekal sayur-sayuran, Farm Price Holdings Bhd membatalkan rancangannya yang diumumkan baru-baru ini untuk terbitan bonus satu-untuk-dua waran, dengan mereka akan menyemak semula rancangan itu tahun depan.

 

"Selepas perbincangan lanjut, syarikat telah memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan terbitan bonus waran.

 

"Kumpulan akan menyemak semula perkara yang sama pada suku kedua 2025," kata Farm Price dalam makluman kepada Bursa Malaysia tanpa memberikan sebarang penjelasan lanjut.

 

Cadangan awal, yang diumumkan minggu lepas pada 7 November 2024 untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham, melibatkan pengeluaran sehingga 225 juta waran berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham yang dipegang oleh pemegang saham. 

 

Harga pelaksanaan ditetapkan pada 50 sen setiap waran, diskaun 6.94% kepada harga purata wajaran volum lima hari bagi saham Farm Price sebanyak 53.73 sen setakat 6 November 2024.

 

Jika kesemua 225 juta waran dilaksanakan, saham terbitan syarikat akan meningkat kepada 675 juta, dengan potensi nilai pasaran RM152.95 juta.

 

Sejak pengumuman terbitan bonus yang dicadangkan, harga saham Farm Price telah meningkat 9.43% atau lima sen daripada 53 sen kepada ditutup pada 58 sen pada Jumaat.

 

Hanya sehari sebelum itu, kumpulan itu juga mengumumkan rancangan untuk meluaskan jangkauan pengedarannya ke Sabah dengan mengambil alih 55% kepentingan dalam Fresh Story Sdn Bhd yang berpangkalan di Kota Kinabalu.

 

Farm Price baru-baru ini melaporkan keuntungan bersih RM1.63 juta di belakang pendapatan RM30.55 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024. 

 

Tiada angka perbandingan kerana ini adalah laporan kewangan interim kedua syarikat di Bursa Malaysia, berikutan penyenaraiannya pada 14 Mei 2024. - DagangNews.com