Hasil bon kerajaan dijangka meningkat minggu ini | DagangNews Skip to main content

Hasil bon kerajaan dijangka meningkat minggu ini

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Hasil bon kerajaan dijangka meningkat minggu ini didorong peningkatan hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi. 

 

Dalam laporan mingguan pasaran bon, Kenanga Research berkata, permintaan bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) adalah lemah minggu lalu berikutan cuti umum Hari Raya.

 

Tekanan jualan dipacu oleh prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang lebih baik berbanding jangkaan, menguncup 0.5% berbanding unjuran -0.9%.

 

"Tetapi, kami masih menjangkakan hasil MGS/GII menunjukkan peningkatan dalam tempoh sederhana dan jangka panjang memandangkan kami mengekalkan unjuran KDNK 2021 pada 6.5%. 

 

"Namun begitu, pasaran bon tempatan mungkin berdepan sedikit pengurangan risiko dalam tempoh sederhana memandangkan pelaksanakaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0," katanya hari ini. 

 

Menurut firma itu, aliran masuk asing dalam pasaran hutang berterusan bagi 12 minggu berturut-turut pada April didorong oleh keyakinan terhadap pemulihan ekonomi dan juga keputusan positif FTSE Russell ke atas bon Malaysia. 

 

"Oleh itu, kami jangkakan permintaan asing kekal dalam tempoh sederhana, meskipun aliran masuk mungkin menyederhanan dalam tempoh terdekat akibat PKP 3.0," tambahnya.

 

Bagi pasaran kewangan pula, firma itu berkata, ringgit diniagakan dalam julat yang kecil antara RM4.11 dan RM4.13 minggu ini. 

 

Ini memandangkan para pelabur masih mengekalkan 'mood' tunggu dan lihat ekoran peningkatan jangkitan kes COVID-19 dengan 7 hari secara purata merekodkan lebih 4,000 kes. 

 

Dalam masa sama, katanya, hasil perbendaraan AS juga diniagakan dalam julat yang rendah memandangkan prestasi jualan runcit AS yang lemah telah mengekang kebimbangan inflasi yang disebabkan oleh lonjakan indeks harga pengguna sebanyak 4.2%. - DagangNews.com