Hasil Hong Leong Industries bagi 1HFY24 susut 8% kesan kelemahan jualan motosikal akibat pembiayaan terhad, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Hasil Hong Leong Industries bagi 1HFY24 susut 8% kesan kelemahan jualan motosikal akibat pembiayaan terhad, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Kelemahan jualan motosikal berikutan pembiayaan terhad menjadi penyumbang utama kepada penyusutan hasil Hong Leong Industries Bhd sebanyak 8% pada 1HFY24.

 

Kenanga Research berkata, selain itu, penyusutan itu juga berpunca daripada kelemahan sumbangan syarikat bersekutunya Yamaha Motor Vietnam sebanyak RM10 juta atau penurunan sebanyak 69% disebabkan kerugian dalam bahagian pasaran.

 

Bagaimanapun, tahap penggunaan kedua-dua kilang pengeluaran Yamaha Motor dan Guocera kekal stabil antara 70% hingga 80%.

"Hasil 2QFY24 kumpulan itu juga susut 11% kerana pembeli menahan minat belian mereka bagi menantikan model baharu iaitu Yamaha Y16ZR ABS yang dilancarkan pada Januari 2024.

 

"Untung bersih terasnya bagaimanapun hanya turun 5% hasil daripada kadar cukai yang lebih rendah sebanyak 20.5% berbanding 22.2% pada 1QFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi sebanyak RM102.47 juta pada 2QFY24, berbanding RM73.53 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Hasil, bagaimanapun, merosot kepada RM743.55 juta daripada RM841.61 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih rendah, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi 1HFY24, kumpulan itu mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi sebanyak RM190.14 juta berbanding RM155.41 juta setahun lalu, manakala hasil turun kepada RM1.58 bilion berbanding RM1.73 bilion sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Hong Leong Industries kerana menjadi proksi yang kuat kepada ekonomi gig yang berkembang pesat memandangkan peranan penting kenderaan dua roda dalam melaksanakan transaksi penghantaran dalam talian selain kaitannya dengan jenama Yamaha yang kukuh di Malaysia.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM11.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com