Hasil Malaysia Smelting bagi 2QFY24 meningkat 25.6% kepada RM410.8 juta, didorong harga bijih timah tinggi | DagangNews Skip to main content

Hasil Malaysia Smelting bagi 2QFY24 meningkat 25.6% kepada RM410.8 juta, didorong harga bijih timah tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Hasil Malaysia Smelting Corp Berhad (MSC) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat 25.6% kepada RM410.8 juta berbanding RM327 juta pada tahun sebelumnya didorong harga purata bijih timah yang tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih bagaimanapun menyusut kepada RM16.7 juta berbanding RM28.4 juta pada 2QFY23.

 

Katanya, segmen pelaburan bijih timah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.7 juta pada 2QFY24 berbanding RM16.3 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Prestasi yang lebih lemah itu boleh dikaitkan dengan penyelenggaran tahunan MSC dan penyelenggaraan berjadual bagi relau Relau Top Submerged Lance (TSL) yang berlangsung dari pertengahan Mei hingga pertengahan Julai 2024.

 

"Ia telah memberi kesan kepada keseluruhan pengeluaran bijih timah ditapis dan hasil peleburan pada 2QFY24. 

 

"Pada tahun sebelumnya, pembinaan semula dan penyelenggaraan tahunan berlaku pada pertengahan Jun hingga pertengahan Ogos 2023, menyebabkan kesannya dirasai dalam suku kewangan yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perniagaan perlombongan bijih timah menyaksikan peningkatan untung bersih sebanyak 45.2% kepada RM24.9 juta pada 2QFY24, daripada RM17.2 juta pada 2QFY23, didorong oleh harga timah yang menggalakkan sebanyak RM153,400 setiap tan metrik. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Dr. Patrick Yong berkata, pada separuh pertama 2024, kumpulan itu mendapat manfaat daripada harga timah yang menggalakkan, menyumbang kepada pertumbuhan hasil.

 

Bagaimanapun, keuntungan kumpulann itu terjejas kerana penyelenggaraan tahunan dua bulan yang dirancang bagi relau TSL, yang mengakibatkan pengeluaran timah ditapis, pendapatan dan keuntungan pelaburan lebih rendah dalam tempoh itu.

 

"Melangkah ke hadapan, kami komited untuk meneruskan rancangan strategik bagi meningkatkan kecekapan operasi. 

 

"Bagi cabang peleburan bijih timah, pentupan berperingkat kilang peleburan di Butterworth, Pulau Pinang berada di landasan untuk ditutup sepenuhnya menjelang 2025 dan pada masa sama mengalihkan operasi peleburan ke Pulau Indah di Pelabuhan Klang bagi meningkatkan kecekapan menerusi pengurangan kos operasi dan tenaga kerja," katanya.

 

Beliau berkata, kilang di Pulau Indah menggunakan sistem solar fotovoltaik 1.26 megawatt-puncak (MWp), yang akan mengurangkan keseluruhan jejak karbon dan kos tenaga.

 

“Dalam segmen perlombongan bijih timah, kami terus menumpukan pada meningkatkan pengeluaran harian dan produktiviti keseluruhan dengan melaksanakan teknologi kos efektif baharu, mengembangkan aktiviti dan sumber perlombongan dan meneruskan perkongsian strategik.- DagangNews.com