Hasil perkhidmatan Maxis 4Q20 melonjak kepada RM1.94 bilion | DagangNews Skip to main content

Hasil perkhidmatan Maxis 4Q20 melonjak kepada RM1.94 bilion

Maxis Berhad (Maxis)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Syarikat telekomunikasi, Maxis Berhad (Maxis) berjaya mengakhiri 2020 dengan prestasi yang kukuh.

 

Bagi suku keempat 2020, Maxis berjaya mencatatkan peningkatan hasil perkhidmatan kepada RM1.94 bilion berbanding RM1.93 bilion pada suku sebelumnya.

 

Maxis berkata, peningkatan hasil tersebut didorong oleh pertumbuhan perkhidmatan mudah alih, perusahaan dan perniagaan fiber.

 

Bagi tahun kewangan 2020, syarikat tersebut mencatatkan RM8,966 juta hasil keseluruhan.

 

Dalam pada itu, syarikat tersebut juga mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang stabil.

 

EBITDA kekal stabil pada RM939 juta berbanding RM945 juta pada suku sama 2019.

 

"Prestasi Maxis pada suku keempat menunjukkan pengukuhan yang berterusan dalam mengurangkan kesan COVID-19 serta PKP di samping memastikan pengekalan infrastruktur rangkaian yang kuat.

 

"Maxis terus menerajui segmen pascabayar dengan pertumbuhan langganan suku ke suku.

 

"Dalam segmen fiber pula, syarikat berada dalam meomentum yang baik dengan pertumbuhan langganan daripada kelompok keluarga dan perniagaan yang stabil," jelas Maxis.

 

Langganan pascabayar Maxis mencatatkan pengembangan sebanyak 4.0% kepada 3.5 juta pelanggan dipacu oleh penawaran MaxisONE dan Hotlink Postpaid.

 

.

 

Hasil pascabayar bagaimanapun mencatatkan sedikit penurunan iaitu 2.2% kepada RM967 juta disebabkan oleh penurunan Kadar Penamatan Mudah Alih (MTR) serta kekurangan pendapatan perayuan antarabangsa susulan PKP sejak Mac tahun lalu.

 

Dalam segmen prabayar pula, Maxis terus mengalami tekanan dengan penguncupan langganan sebanyak 4.4% kepada 6.0 juta pelanggan selain ARPU yang lebih rendah pada tahap RM39.

 

Maxis memberitahu, syarikatnya mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM319, menyusut 6.7% berbanding RM342 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

"Dividen interim adalah sebanyak 4 sen dengan tambahan dividen interim khas 1 sen pada suku keempat," jelas Maxis lagi. - DagangNews.com