Hasil suku ketiga Eco World dijangka lemah ekoran ‘lockdown’ | DagangNews Skip to main content

Hasil suku ketiga Eco World dijangka lemah ekoran ‘lockdown’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Syarikat pemaju hartanah, Eco World Development Group Berhad dijangka mencatatkan hasil yang lebih lemah pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’.

 

Namun, penganalisis di CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng percaya perkembangan kerja-kerja kumpulan di tapak pembinaannya akan meraih momentum semula pada 4QFY21 sekiranya tiada lanjutan PKP penuh.


 

“Kami mendapati kumpulan akan terus melaksanakan disiplin kewangan dan menumpukan ke arah digitalisasi untuk memacu kecekapan kos. 

 

“Eco World menjelaskan bahawa 80% daripada jumlah jualannya adalah dari platform media sosial dan digitalisasi membolehkan 80% tempahan ditukarkan kepada penjualan dalam masa 30 hari,” jelas beliau dalam nota kajian hari ini. 

 

Eco World menyaksikan keuntungan bersihnya pada separuh pertama FY21 (1HFY21) meningkat dua kali ganda kepada RM105 juta daripada RM52 juta, terutamanya disumbangkan oleh usaha sama, perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan yang lebih rendah.

 

Di sebalik prestasi itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Eco World dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.66 sesaham.

 

MIDF Research sebaliknya meletakkan saranan ‘beli’ saham Eco World dengan TP ditingkatkan kepada RM0.73 sesaham.

 

Saranan itu dibuat memandangkan firma penyelidikan berkenaan menjangkakan prospek yang stabil buat jualan baharu kumpulan pada tahun kewangan semasa, menurut penganalisis di MIDF, Jessica Low Jze Teing.

 

“Kami menyemak turun unjuran perolehan bagi FY21 dan FY22, masing-masing sebanyak -18.5% dan -5% bagi menggambarkan perkembangan pembilan yang perlahan,” jelas beliau. 

 

Sebagai rekod, Eco World mencatatkan jualan hartanah baharu berjumlah RM1.3 bilion pada suku tahun kedua lalu, menjadikan jumlah jualan keseluruhannya sebanyak RM2.2 bilion setakat 1HFY21. 

 

Kumpulan menyasarkan jumlah jualan baharu iaitu RM2.875 bilion bagi tahun kewangan semasa. - DagangNews.com