KUALA LUMPUR 22 Feb - Kerajaan negeri Sabah menerima Anugerah Kecemerlangan Prestasi Halal peringkat negeri daripada Halal Development Corporation Berhad (HDC) semasa Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA 2021), untuk tahun ini.
Ia sebagai pengiktirafan atas inisiatif cemerlangnya membantu mencapai tahap kesedaran pengguna yang lebih tinggi dan menggalakkan organisasi dan syarikat menceburi perniagaan halal.
Sebagai hab halal global, industri halal turut diperkembangkan di peringkat negeri-negeri, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi halal negara.
Anugerah Kecemerlangan Usahawan PKS Terbaik Halal pula dianugerahkan kepada Omni Mal Agencies Sdn Bhd yang mempamerkan pertumbuhan pesat dan mendapat daya tarikan dalam pengiktirafan industri serta menarik keyakinan pelanggan.
Terdahulu, HDC turut menganugerahkan sebanyak 16 organisasi atas sumbangan mereka dalam pertumbuhan industri halal.
WHEA 2021 telah disampaikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin berkata, pencapaian itu merupakan sejarah penting bagi organisasi masing-masing.
"Sebahagian daripada mereka adalah jenama terkenal yang telah lama berada dalam industri masing-masing, kekal berdaya tahan semasa wabak COVID-19 dan mematuhi proses piawai halal ketat dalam operasi mereka.
"Secara tidak langsung ini mempamerkan pentingnya halal dalam perniagaan untuk mendapatkan keyakinan pelanggan dan sokongan pasaran," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, adalah menjadi harapan bahawa pencapaian yang diberikan akan membawa kepada peningkatan yang lebih tinggi sama ada prestasi, kecekapan atau produktiviti, untuk memberi manfaat kepada industri halal.
"Dan dengan ini, peluang baru untuk membina kapasiti pemain halal dalam mempelbagaikan dan memperoleh kelebihan daya saing dalam bidang ini dilihat dapat menghasilkan pendapatan pada negara," katanya.
Sementara itu, HDC turut mengumumkan kerjasama Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (AUSTRADE) untuk menjadi tuan rumah penganjuran Siri Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2022 di Melbourne, Australia yang dijadualkan pada Jun 2022.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Penolong Pesuruhjaya Tinggi, Cik Hannah Birdsey mewakili Pesuruhjaya Tinggi Australia, H.E. Dr Justin Lee.
Hairol berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja tertakluk kepada perkongsian pandangan dan pasaran, ia akan merangkumi projek dan usaha-sama bagi meningkatkan perdagangan, pertukaran pengetahuan kajian pasaran, pelaburan di taman halal, latihan dan perundingan serta penganjuran bersama acara berkaitan halal.
Acara tahunan berprestij yang dahulunya dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Persidangan Halal Sedunia dianjurkan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan dan pencapaian cemerlang oleh pemain industri halal negara.
Sehingga kini, lebih 200 pengiktirafan telah diberikan kepada individu, organisasi dan syarikat. - DagangNews.com