HeiTech Padu lantik Salmi Nadia sebagai MD, pengarah MyEG Mohd Jimmy Wong ke lembaga pengarah | DagangNews Skip to main content

HeiTech Padu lantik Salmi Nadia sebagai MD, pengarah MyEG Mohd Jimmy Wong ke lembaga pengarah

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 4 April - Penyedia perkhidmatan teknologi HeiTech Padu Bhd mengumumkan pelantikan Salmi Nadia Mohd Hilmey sebagai pengarah urusan kumpulan (MD), berkuat kuasa Rabu.

 

Salmi Nadia, 42, dinaikkan pangkat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan pada Oktober tahun lalu bagi menggantikan bapanya Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib, yang melepaskan jawatannya atas alasan "komitmen peribadi".

 

Bagaimanapun, beliau kekal sebagai timbalan pengerusi eksekutif kumpulan itu.

 

Mohd Hilmey memegang 3.82% pegangan langsung dan 14.06% pegangan tidak langsung dalam syarikat itu melalui entiti persendiriannya Padujade Corp Sdn Bhd.


Salmi Nadia telah berkhidmat dengan HeiTech sejak 2007 dan telah memegang banyak jawatan dalam syarikat itu sejak 17 tahun yang lalu, termasuk pembantu khas kepada CEO kumpulan, pengarah pembangunan korporat dan pengurusan risiko, naib presiden eksekutif pengurusan risiko dan perkhidmatan korporat, dan ketua pegawai operasi (COO) kumpulan, menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia.

 

 

wainuiomata

 

 

Secara berasingan, HeiTech turut melantik Sandraruben Neelamagham sebagai pengarah eksekutif baharunya dan Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif kumpulan itu.

 

Sandraruben, 37, mahir dalam pelbagai amalan undang-undang dan kini merupakan rakan kongsi pengurusan di Tetuan Ahmad Daniel, Ruben & Co.

 

Mohd Jimmy, 61, kini merupakan pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif di MyEG Services Bhd. Beliau memulakan kerjayanya dengan Polis Diraja Malaysia, bermula sebagai rekrut baharu.

 

Pada 1994, beliau ditempatkan dalam misi diplomatik selama dua tahun di Wisma Putra di Guangzhou, China sehingga 1996.

 

BACA JUGA : Sultan Kelantan miliki 15.9% kepentingan HeiTech Padu, Farhash Wafa jelaskan isu saham

 

Saham dalam HeiTech menokok enam sen atau 3.3% kepada RM1.88 pada hari Rabu, menilai kumpulan itu pada RM190.3 juta. Kaunter telah menyaksikan minat belian yang tinggi, melonjak 111.24% tahun setakat ini.

 

MERREPAK: Saham Heitech Padu terus naik, cerminkan sentimen `okay’ pelabur terhadap Farhash Wafa

 

ARTIKEL BERKAITAN: MyEG peroleh 14.4% kepentingan dalam HeiTech Padu pada harga RM31.25 juta

 

Bulan lalu, HeiTech mengumumkan bahawa ia telah memperoleh lanjutan kontrak bernilai RM13.11 juta untuk penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan kepada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

 

Ini berlaku sejurus selepas MyEG muncul sebagai pemegang saham besar dalam HeiTech berikutan pemerolehan 14.4% kepentingan. - DagangNews.com