Henti pengeluaran model kenderaan enjin diesel pada awal 2024, Volvo fokus penjualan kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030 | DagangNews Skip to main content

Henti pengeluaran model kenderaan enjin diesel pada awal 2024, Volvo fokus penjualan kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030

Kereta klasik Volvo di Pulau Pinang. Gambar oleh Afiq Samat
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Volvo Cars akan menghentikan pengeluaran model kereta berkuasa diesel menjelang awal 2024 dan merancang untuk hanya menjual kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030 selain menjadi syarikat neutral iklim menjelang 2040.

 

Kereta Volvo berkuasa diesel terakhir Volvo akan dibina dalam beberapa bulan dari sekarang, menjadikan syarikat itu sebagai pengeluar kenderaan legasi pertama mengambil langkah seperti itu.

 

Pencapaian adalah berdasarkan keputusan syarikat itu untuk berhenti daripada membangunkan enjin pembakaran baharu dan pada November 2022, mereka telah menjual pegangan mereka dalam Aurobay, syarikat usaha sama yang menyimpan semua baki aset enjin pembakaran. 

 

Sejak itu, Volvo Cars tidak lagi membelanjakan bajet penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan enjin pembakaran dalaman baharu.


 

volvo

 


Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Cars, Jim Rowan berkata, rangkaian kuasa elektrik adalah masa depan dan ia lebih baik daripada enjin pembakaran kerana ia mengurangkan bunyi, getaran selain juga mengurangkan kos servis.

 

"Kami memberikan tumpuan penuh dalam mencipta sebuah portfolio yang terdiri daripada kereta elektrik premium dan elektrik sepenuhnya kerana hal ini merupakan bahagian penting dalam tindak balas kami terhadap perubahan iklim," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Rowan berkata, keputusan menghentikan enjin diesel sepenuhnya menjelang awal 2024 menggambarkan betapa cepatnya industri kereta dan permintaan pelanggan berubah dalam menghadapi krisis iklim.

 

Beliau berkata, hanya empat tahun yang lalu, enjin diesel merupakan elemen terpenting buat Volvo Car bukan sahaja di Eropah, malah juga pembuat kereta lain. 

 

"Majoriti kereta yang dijual di benua itu pada 2019 dikuasakan oleh enjin diesel, manakala model-model elektrik baru sahaja mula berada di pasaran.

 

"Trend itu sebahagian besarnya telah berubah sejak itu dan ia didorong oleh permintaan pasaran yang berlainan, peraturan pelepasan yang lebih ketat serta pertumpuan kami pada elektrifikasi. 

 

"Majoriti jualan Volvo Cars di Eropah kini terdiri daripada kereta elektrik, sama ada dengan penjana kuasa hibrid elektrik sepenuhnya atau separuh elektrik," katanya.

 

Pengurangan kereta diesel di jalanan juga mempunyai kesan positif terhadap kualiti udara, walaupun diesel mengeluarkan karbon dioksida yang lebih kurang daripada enjin petrol, ia mengeluarkan lebih banyak gas seperti nitrogen oksida (NOx) yang mempunyai kesan buruk terhadap kualiti udara terutamanya di kawasan binaan. - DagangNews.com