Henti takutkan pekerja bank susulan pendigitalan, kata NUBE | DagangNews Skip to main content

Henti takutkan pekerja bank susulan pendigitalan, kata NUBE

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa bank-bank terlibat agar menghentikan tindakan menakut-nakutkan pekerja bukan eksekutif bahawa golongan tersebut bakal kehilangan kerja disebabkan oleh transformasi digital dalam sektor kewangan.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, tindakan tersebut telah dilakukan oleh beberapa buah bank terhadap risiko yang bakal dihadapi pekerja tersebut.

"Beberapa bank telah memberitahu ahli-ahli kami bahawa tugas mereka akan terhapus dan mereka berisiko kehilangan kerja apabila tugas mereka diautomasi atau mengalami pendigitalan.

"Kita menyeru bank-bank ini supaya berhenti menyebarkan ketakutan sedemikian sebaliknya mencontohi bank lain yang telah menyediakan penambahan kemahiran yang diperlukan kepada pekerja bank untuk memastikan mereka kekal relevan dalam sektor perbankan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli kesatuan NUBE menyambut baik proses pendigitalan dan menuntut agar diberi latihan dan pemantapan kemahiran oleh pihak bank.

J. Solomon
J. Solomon

 

Tambahnya, NUBE turut kecewa dengan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana menolak pelawaan pihaknya untuk menjelaskan dasar awam yang sedia ada bagi melindungi kehidupan pekerja dalam era pendigitalan ini.

"BNM memiliki segala kepakaran dalam perbankan digital dan berada pada kedudukan terbaik untuk bercakap terus dengan ahli kita. Namun mereka sentiasa memberi alasan untuk tidak hadir termasuk hari ini, mereka tidak hadir pada perbicangan panel kita mengenai pendigitalan.

"Dengan menolak untuk membuang kebimbangan ahli kita, BNM mungkin secara langsung menggalakkan bank-bank untuk meminggirkan kebajikan pekerja," tegasnya.

Tambahnya, institusi kewangan seharusnya tidak memikirkan keuntungan semata-mata, namun transformasi digital itu harus dilihat dengan lebih seimbang antara keuntungan dan kemanusiaan.

NUBE juga terpaksa mengambil tindakan perindustrian sekiranya pihak bank masih tidak mempedulikan kebajikan pekerja khususnya ahli NUBE yang tergolong dalam kumpulan B40 dan M40.

Isu tersebut turut dikaitkan dengan kegagalan pihak kerajaan seperti Kementerian Kewangan dan BNM untuk mendengar rintihan pekerja termasuk industri lain.

"Kita lihat sekarang dan pentadbiran kerajaan sebelum ini bahawa para pemimpin tidak memahami apa yang kita alami. Ekoran pandemik COVID-19, para pekerja benar-benar bimbang masa hadapan mereka.

"Kerajaan dan Bank Negara tidak memahami apa yang kita cuba nyatakan.Pemberhentian kerja dan pemotongan gaji dilakukan sesuka hati oleh majikan. Kita mahu suara kita didengar oleh kerajaan dan parlimen, atau kita akan binasa," ujarnya lagi. - DagangNews.com