Hextar Global cadang pengambilalihan 99.91% kepentingan ekuiti PT Agro Sentosa Raya pada harga RM10.2 juta | DagangNews Skip to main content

Hextar Global cadang pengambilalihan 99.91% kepentingan ekuiti PT Agro Sentosa Raya pada harga RM10.2 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Hextar Global Berhad mengemukakan cadangan untuk mengambil alih 109,900 saham atau 99.91% kepentingan ekuiti dalam syarikat agrokimia yang berpangkalan di Indonesia, PT Agro Sentosa Raya (PTASR) pada harga RM10.2 juta.

 

Hextar Global dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, kumpulan itu sudah memetrai perjanjian penjualan saham untuk pengambilalihan saham berkenaan dan cadangan itu dijangka selepsa pada pada 2QFY22 dan bakal menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan apabila selesai.

 

"Pertimbangan pembelian itu akan dilakukan secara tunai dan akan dibiayai melalui dana dalaman," katanya.

 

Harga berkenaan adalah berdasarkan aset bersih PTSAR laporan kewangan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021.

 

Menurut Hextar Global, PTASR yang ditubuhkan pada 2004 itu terlibat dengan perniagaan kimia di Indonesia selama lebih 15 tahun dengan perniagaan asasnya termasuk penggubalan, pencampuran dan pembungkusan semula aplikasi khusus kimia serta perkhidmatan logistik untuk membantu pelanggan mengedarkan produk mereka.

 

"PTASR mencatatkan pertumbuhan dari segi pendapatan untuk tiga tahun berturut-turut daripada 82.6 bilion rupiah pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, kepada 102.7 bilion rupiah bagi tahun kewangan berakhir 2021 disebalik kelembapan ekonomi akibat penularan pandemik.

 

"Cadangan pengambilalihan itu dijangka meningkatkan lagi kedudukan Hextar Global dalam pasaran agrokimia serantau," katanya.

 

PTASR akan dikawal oleh Hextar Holdings Sdn. Bhd. selepas Pengarah Eksekutif Hextar Global, Datuk Eddie Ong Choo Meng merupakan pemegang saham terbesar.

 

Eddie berkata, cadangan pengambilalihan itu membolehkan kumpulan itu meluaskan perniagaan mereka dan memanfaatkan kelebihan produk PTASR bagi meningkatkan pendapatan.

 

"Kami akan mendapat akses kepada lebih banyak pembekal jenama kimia dan membolehkan lebih banyak pembangunan dalaman dibuat dan kami teruja untuk manfaatkan  kepakaran PTASR rangkaian perniagaan yang kukuh di Indonesia," katanya. - DagangNews.com