Hextar Global rekod keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM30.9 juta pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Hextar Global rekod keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM30.9 juta pada 4QFY23

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Feb - Hextar Global Berhad mencatatkan untung bersih pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) sebanyak RM30.9 juta,  meningkat naik berbanding hanya RM6.4 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku berakhir 31 Disember 2023 itu berjumlah RM214.3 juta, melonjak 60% daripada RM134.1 juta tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula bernilai 0.6 sen berbanding 0.12 sen.

 

Prestasi kukuh itu didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen kimia khas, dengan sumbangan daripada aliran hasil baharu dalam bentuk segmen buah-buahan, yang mendapat manfaat daripada musim durian pada akhir tahun.

 

Selain daripada prestasi yang lebih baik merentas segmen terasnya, kumpulan itu juga melupuskan segmen produk pengguna yang merugikan pada 2QFY23.

 

hext

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Hextar Global meningkat 10% kepada RM15.4 juta pada 3QFY23

 

Hextar Global juga yakin ia akan mengekalkan momentum pertumbuhannya pada masa hadapan, disokong oleh asas yang kukuh untuk menyokong pengembangan dalam perniagaan terasnya.

 

Pengarah Urusan Hextar Global, Lee Chooi Keng berkata, suku keempat merupakan satu prestasi yang luar biasa untuk menamatkan tahun transformasi untuk Kumpulan.

 

"Lebih memuaskan ialah keupayaan kami untuk terus memberikan peningkatan margin seiring dengan pertumbuhan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Beliau berkata, prestasi Kumpulan pada separuh kedua 2023 berjaya menutup jurang prestasi separuh pertama yang terjejas oleh turun naik harga komoditi dan aliran menurun dalam kos bahan mentah dan harga jualan.

 

Bagi tahun kewangan 2023, Hextar mencatatkan keuntungan bersih RM56.08 juta, meningkat daripada RM49.54 juta pada FY22, manakala pendapatan bertambah kepada RM669.44 juta berbanding RM594.91 juta.

 

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham, yang perlu dibayar pada 5 April 2024, kepada pemegang saham berdasarkan rekod pendeposit pada 19 Mac 2024, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 56% daripada pendapatan tahun semasa.- DagangNews.com